SHAH ALAM, 4 SEPT: Bantuan sekolah yang disalurkan Kerajaan Negeri kepada pelajar harus dilihat dari aspek pendidikan dan tidak wajar digunakan sebagai bahan untuk memecah-belah serta menimbulkan perasaan syak wasangka antara kaum.
Pejabat Dato’ Menteri Besar menegaskan pihaknya telah memberikan bantuan sebanyak RM244.124 juta kepada pelbagai jenis sekolah supaya anak Selangor belajar dalam keadaan selesa dan kondusif demi masa depan negeri serta negara.
Bantuan itu disalurkan kepada Sekolah Agama Rakyat, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil, Sekolah Mubaligh, Sekolah Menengah Persendirian Cina, Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Menengah Kebangsaan.
“Dakwaan membabitkan kunjungan hormat oleh Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia kepada Dato’ Seri Amirudin Shari telah diputar belit oleh pihak yang berniat mengganggu-gugat keharmonian kaum di Selangor.
“Di beberapa platform media sosial, kunjungan hormat itu seolah-olah digambarkan bahawa Kerajaan Negeri menggadaikan tanah untuk pembinaan sekolah Cina dan Kerajaan Negeri membuat keputusan baharu untuk mengiktiraf UEC yang digunakan di sekolah Cina.
“Pemberian tanah untuk membina sekolah bukan perkara yang baharu dan tidak hanya melibatkan sekolah Cina. Sebaliknya, keputusan ini telah pun diumumkan pada 7 Julai 2023 selepas permohonan daripada Sekolah Menengah Persendirian Cina Pin Hwa, Klang. Hal ini kerana sekolah tersebut terlalu padat dan tidak dapat menampung lebih ramai pelajar,” maklumnya menerusi kenyataan.
Beliau menambah Kerajaan Negeri juga meluluskan pemberian tanah kepada Pusat Pendidikan Al-Amin di Gombak atas dasar yang sama iaitu peningkatan jumlah pelajar dan ruang tambahan diperlukan untuk menampung lebih ramai pelajar.
“Dato’ Menteri Besar turut meluluskan bantuan sebanyak RM300,000 kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Midlands bagi tujuan membina bangunan asrama pelajar,” jelas kenyataan itu.
Menjawab mengenai dakwaan Kerajaan Negeri mengiktiraf UEC, Pejabat Dato’ Menteri Besar menjelaskan keputusan berhubung perkara itu telah diluluskan melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor pada 21 Oktober 2015.
“Terdapat percubaan untuk menimbulkan perasaan syak wasangka di antara kaum dengan memberikan persepsi bahawa Kerajaan Negeri baru bermula memberikan peruntukan kepada Sekolah Menengah Persendirian Cina.
“Waima demikian, bantuan peruntukan kepada sekolah-sekolah di negeri Selangor telah dimulakan semenjak tahun 2009. Pada ketika itu, PAS turut menjadi parti dalam Kerajaan Negeri dengan empat wakil dalam MMKN sehingga 2018,” jelasnya.
Semalam, seorang pengguna melalui hantaran di Facebook mendakwa Kerajaan Negeri telah memberi tanah untuk membina sebuah Sekolah Menengah Persendirian Cina Pin Hwa di Klang termasuk lulusan UEC boleh memohon kerja di syarikat kanun berkaitan (GLC) Selangor.
Katanya lagi, ia susulan lawatan Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) yang diketuai oleh Pengerusinya, Tan Yew Sing, telah membuat lawatan bersejarah bertemu Amirudin.
Ujarnya, kedua-dua pihak telah mengadakan sesi dialog selama satu jam di kediaman rasmi Dato’ Menteri Besar melalui usaha EXCO Pelaburan Ng Sze Han dan berjaya mencapai kata sepakat mengenai pelbagai isu pendidikan Cina, mencerminkan gaya pemerintahan Kerajaan Selangor yang terbuka dan pragmatik.