SHAH ALAM, 4 SEPT: Ketika menyambut kelahiran anak pertama pada usia 31 tahun, Syarinie terpaksa membuat keputusan sukar. Perjalanan harian yang panjang, ditambah komitmen keluarga yang semakin meningkat, membuatkannya bergelut untuk mengimbangi tuntutan kerjaya dan keibuan.
Selain keletihan, baki pendapatan selepas ditolak kos penjagaan anak dan pengangkutan yang dirasakan tidak setimpal, menyebabkan beliau memilih meninggalkan kerjaya dan memilih keluarga sebagai keutamaan.
“Setiap kali saya pulang dari kerja, tenaga saya hampir habis dan sukar untuk meluangkan masa berkualiti dengan bayi saya. Saya rasa seperti terlepas detik terpenting dalam hidup anak saya,” katanya kepada Media Selangor.
“Saya mahu teruskan kerjaya, tetapi langsung tiada ruang untuk bernafas. Akhirnya saya memilih keluarga, namun ia bukan keputusan yang mudah.”
Syarinie antara ramai wanita Malaysia yang terpaksa membuat pilihan sukar antara kerjaya dan keluarga. Bagi kebanyakan mereka, keputusan itu dipengaruhi oleh dasar tempat kerja yang masih belum mesra ibu bekerja.
Situasi sama dihadapi Sally, 48, yang meninggalkan dunia pekerjaan selepas anak perempuannya dilahirkan pramatang pada 2016.
Selama tujuh bulan, beliau tinggal di hospital menjaga bayinya tanpa bantuan keluarga terdekat, tambahan rasa ragu untuk menyerahkan anaknya kepada penjaga ketika keluar bekerja menyebabkan Sally memilih menjadi suri rumah sepenuh masa.
Walaupun beliau tidak menilai pengorbanannya dari segi gaji atau prospek kerjaya yang hilang, beliau percaya sistem sokongan lebih kukuh boleh membantu ibu seperti dirinya terus kekal terhubung dengan tenaga kerja.
“Jika diketahui sejak lahir bahawa anak saya pramatang, agensi seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat boleh menyediakan lawatan ke rumah dan sokongan, bukan sahaja bantuan kewangan malah peluang pekerjaan sambilan untuk meringankan beban,” katanya.
Pada Julai lalu, Pengurus negara Bank Dunia Malaysia Judith Green berkata populasi warga emas yang semakin meningkat dan tenaga kerja yang menyusut menunjukkan terdapat keperluan mendesak untuk memperkukuh penyertaan wanita dalam pasaran buruh.
Walaupun wanita Malaysia secara purata lebih berpendidikan daripada lelaki, kadar penyertaan tenaga buruh mereka masih rendah iaitu 56.2 peratus pada 2023, bawah sasaran kerajaan 60 peratus, serta ketinggalan berbanding negara Asia Tenggara lain seperti Thailand (68 peratus), Vietnam (70 peratus), dan Singapura (76 peratus).
Menurut satu tinjauan Bank Dunia mengenai amalan pekerjaan inklusif, walaupun 60 peratus firma di Malaysia mengakui pengambilan pekerja wanita meningkatkan produktiviti dan tarikan bakat, 40 peratus masih melihatnya sebagai beban kos kerana memerlukan sokongan penjagaan anak, bilik penyusuan dan pematuhan berkaitan cuti bersalin.
Tanggapan ini menyebabkan peluang kerja yang lebih sedikit buat wanita, yang kekal kurang diwakili dalam tenaga kerja Malaysia, khususnya dalam sektor pembinaan, pertanian dan perkilangan, serta jawatan pertengahan dan tinggi dalam syarikat besar.