GAZA, 4 SEPT: Israel pada Rabu menolak cadangan Hamas untuk mencapai perjanjian gencatan senjata menyeluruh di Gaza bagi menamatkan perang, dengan menyatakan tenteranya akan terus bersiap sedia melancarkan serangan besar-besaran ke atas Bandar Gaza, lapor Xinhua.
Dalam kenyataan pada Rabu, Hamas menegaskan kesediaannya untuk mencapai “perjanjian menyeluruh” dengan tawanan Israel di Gaza akan dibebaskan sebagai pertukaran dengan sejumlah tahanan Palestin di Israel.
Menurut Hamas, perjanjian itu juga merangkumi gencatan senjata kekal, pengunduran tentera Israel dari Gaza, pembukaan semula lintasan sempadan bagi membolehkan penghantaran bantuan kemanusiaan dan bekalan penting, serta permulaan usaha pembinaan semula.
Hamas turut menyokong penubuhan pentadbiran nasional bebas yang dianggotai teknokrat bagi mengambil alih tanggungjawab menguruskan hal ehwal awam di Gaza.
Sebagai reaksi, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menolak kenyataan itu.
Netanyahu berkata Israel hanya akan bersetuju menamatkan perang jika Hamas menerima kawalan keselamatan penuh Israel ke atas Semenanjung Gaza, pelucutan senjata Hamas dan Gaza, penubuhan pentadbiran bukan Palestin, serta pembebasan semua tawanan.
Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz turut menolak tawaran Hamas dengan menyatakan tentera sedang bersiap siaga sepenuhnya untuk menawan Bandar Gaza.
Katz memberi amaran Hamas akan “segera memahami bahawa mereka perlu memilih antara dua pilihan: menerima syarat Israel untuk menamatkan perang – terutamanya pembebasan semua tawanan dan pelucutan senjata – atau menyaksikan Gaza mengalami nasib sama seperti Rafah dan Beit Hanoun.”
Selepas Hamas menerima cadangan yang ditaja Qatar bulan lalu, Israel tidak memberikan maklum balas atau membawa cadangan itu ke Kabinet untuk kelulusan.
Serangan Israel yang hampir memasuki tahun kedua telah memusnahkan Gaza dan mencetuskan kebuluran meluas. Menurut pihak berkuasa kesihatan Gaza, sekurang-kurangnya 63,746 orang terbunuh akibat serangan Israel sejak Oktober 2023.