SHAH ALAM, 4 SEPT: Anjing yang menyerang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun petang semalam sudah ditangkap Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Kajang berkata tangkapan di Taman Batu 9, Cheras dibuat sejurus mendapat laporan awam dan status anjing itu masih dalam siasatan sama ada ia haiwan peliharaan berdaftar atau sebaliknya.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 289 Kanun Keseksaan. Jika sabit kesalahan, individu terbabit boleh dipenjara sehingga 6 bulan, atau denda tidak lebih RM 2,000 atau kedua-duanya sekali,” kata Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof menerusi kenyataan.
Beliau berkata pihaknya turut menyiasat kejadian berkenaan mengikut Seksyen 41(1) Akta Binatang 1953 yang memperuntukan kuasa kepada pihak berkuasa untuk memerintahkan kuarantin ke atas haiwan terbabit.
“Ini bagi memastikan anjing tersebut tidak menghidap rabies atau penyakit lain yang berbahaya terutamanya jika ia adalah anjing peliharaan atau anjing yang tidak diketahui latar belakangnya,” katanya.
Mengulas lanjut, Naazron berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada abang mangsa berusia 20 tahun kira-kira jam 11.41 malam tadi.
Abang mangsa yang bekerja sebagai jututeknik itu menyatakan adiknya diserang dan digigit anjing terbabit pada 6.30 petang ketika bermain di jalan di hadapan rumah keluarganya.
“Mangsa dikatakan sedang bermain basikal di kawasan berhampiran dan secara tiba-tiba seekor anjing kebetulan berada di situ terus menyerang mangsa.
“Tindakan pantas beberapa jiran datang membantu berjaya menghalau anjing tersebut. Mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala dan terus dikejarkan ke hospital dan kini ditempatkan di Hospital Kajang dalam keadaan stabil,” katanya.
Naazron meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat kejadian untuk menghubungi Balai Polis Daerah Kajang di talian 03-89114222 atau pegawai penyiasat Inspektor Nursyaza Farhah Samhairi di talian 017-6919817.
“Orang ramai yang ingin memelihara anjing di mana-mana premis termasuk rumah persendirian diminta mendapatkan kebenaran daripada pihak berkuaaa tempatan serta memastikan haiwan peliharaan dikawal rapi supaya kejadian seperti ini dapat dielakkan,” katanya.