SPAN kaji corak guna air pusat data, elak pengguna terjejas

4 Sep 2025, 3:06 AM
SPAN kaji corak guna air pusat data, elak pengguna terjejas

SHAH ALAM, 4 SEPT: Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) menjalankan kajian mengenai corak penggunaan air di pusat data seluruh negara bagi memastikan penggunaan tinggi tidak menjejaskan bekalan untuk isi rumah dan industri.

Pengerusinya Datuk Abdul Kadir Mohd Din berkata langkah itu membolehkan peraturan lebih ketat dilaksanakan, termasuk mewajibkan pusat data hanya menggunakan jenis air tertentu yang diperuntukkan kepada mereka.

“Kami sedang mengkaji siapa yang menggunakan air terawat dan tidak terawat kerana kami merupakan pengawal selia air terawat.

“Jika mereka kata merka guna air tidak terawat tetapi semakan kami menunjukkan sebaliknya, mereka boleh dikenakan tindakan,” katanya memetik laporan The Star.

Tambah beliau, terdapat garis panduan yang menetapkan paip coklat untuk air tidak terawat manakala paip biru untuk air terawat.

"Tetapi jika garis panduan ini disalah guna, kita boleh kenakan penalti. Air terawat adalah untuk kegunaan orang ramai, untuk diminum,” katanya.

Garis panduan baharu berkanaan dijangka siap hujung tahun ini yang merangkumi struktur harga dan peraturan berkaitan sumber air.

Data terkini menunjukkan lebih 100 pusat data yang memohon kelulusan kerajaan berkemungkinan memerlukan sehingga 808 juta liter air sehari (MLD), iaitu lebih separuh daripada penggunaan air terawat Johor sebanyak 1,511 MLD.

Kadir menjelaskan walaupun pusat data boleh menggunakan air terawat, SPAN menggalakkan penggunaan alternatif seperti air laut atau air kitar semula bagi mengelakkan tekanan terhadap sumber air tawar yang terhad.

“Jika mereka menggunakan air sungai dan berlaku kemarau, mereka tidak akan mendapat air yang cukup untuk sistem penyejukan dan operasi mereka juga akan terjejas.

“Sebab itulah kami mahu mereka menggunakan sumber air lain. Pusat data ini juga bukan kekal kerana mungkin hanya bertahan 10 tahun dan kemudian berpindah. Kita pula yang akan menanggung akibatnya. Jadi kita perlu melindungi pengguna,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619