Faisal Halim dalam keadaan terbaik, isu peribadi tidak jejas fokus - Cklamovski

3 Sep 2025, 9:39 AM
Faisal Halim dalam keadaan terbaik, isu peribadi tidak jejas fokus - Cklamovski
Faisal Halim dalam keadaan terbaik, isu peribadi tidak jejas fokus - Cklamovski

KUALA LUMPUR, 3 SEPT: Ketua Jurulatih Harimau Malaya Peter Cklamovski memberi jaminan pemain sayap Mohamad Faisal Abdul Halim berada dalam keadaan terbaik dan sedia beraksi untuk negara walaupun dilaporkan berdepan masalah peribadi.

Jurulatih Australia berusia 46 tahun itu menegaskan perkara di luar padang tidak mempengaruhi komitmen dan prestasi bintang Selangor FC itu dengan pasukan kebangsaan, selain Mohamad Faisal juga mendapat sokongan seluruh pasukan yang teguh bersamanya.

“Dari perspektif bola sepak, (perkara itu) tiada kesan. Sudah tentu kehidupan peribadi adalah urusan dia dan keluarga dengan kami memberikan sokongan untuk dia menghadapi situasi tersebut. Kami semua ada untuk dia dan saya mendoakan yang terbaik. Saya tahu Micky (Mohamad Faisal) inspirasi kepada negara.

“Dari sudut bola sepak, beliau dalam keadaan terbaik dan saya tahu dia sedang menguruskan hal peribadinya dengan sokongan penuh kami,” katanya pada sidang media pra perlawanan menjelang aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 menentang Singapura di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini hari ini.

Ditanya sama ada Mohamad Faisal akan diturunkan pada aksi menentang Singapura esok dan Palestin pada Isnin depan, Cklamovski berkata keputusan itu hanya dimuktamadkan pada hari perlawanan.

“Anda akan melihat senarai skuad esok, tetapi dia bersedia sepenuhnya. Dia menjalani latihan dengan gigih dan bersedia untuk beraksi,” katanya.

Semalam, media melaporkan isteri pemain sayap negara itu Nur Syazwani Mizuana Shahril memfailkan perceraian manakala Mohamad Faisal yang merupakan pemenang anugerah gol terbaik Piala Asia 2023 belum membuat sebarang kenyataan berhubung isu itu.

Malaysia dijadualkan menentang Singapura di sini malam esok sebelum bertemu Palestin di Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri, Johor Isnin depan.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619