ad

Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza: Semua yang anda perlu tahu!

3 Sep 2025, 9:00 AM
Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza: Semua yang anda perlu tahu!
Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza: Semua yang anda perlu tahu!
Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza: Semua yang anda perlu tahu!
Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza: Semua yang anda perlu tahu!
Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza: Semua yang anda perlu tahu!

APAKAH MAKSUD FLOTILLA?

Flotilla diambil daripada perkataan Sepanyol yang bermaksud armada kapal-kapal kecil.

APAKAH MAKSUD SUMUD?

Sumud merupakan perkataan Arab yang bererti sabar dan bertahan. Perkataan itu dipilih untuk menggambarkan semangat warga Palestin yang masih cekal bertahan meskipun ditekan rejim Zionis.

BAGAIMANA MISI GSF KE GAZA BERMULA?

Misi ini merupakan hasil usahasama empat gabungan utama kumpulan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari seluruh dunia. Ia bertujuan untuk menuntut pembukaan laluan bantuan serta mendesak Israel menghentikan serangan terhadap Gaza.

Empat NGO tersebut adalah:

a) Global Movement to Gaza (GMTG) – Sebelum ini dikenali sebagai Global March to Gaza. Ia merupakan gerakan yang menganjurkan sokongan global bagi memecahkan kepungan di Semenanjung Gaza.

b) Freedom Flotilla Coalition (FFC) – Gabungan NGO antarabangsa yang turut dianggotai wakil tunggal Asia iaitu Humanitarian Care Malaysia (MyCARE).

c) Maghreb Sumud Flotilla – Gabungan NGO kemanusiaan yang berpangkalan di benua Afrika Utara.

d) Sumud Nusantara – Dianggotai lapan negara iaitu Malaysia (ketua), Indonesia, Thailand, Filipina, Sri Lanka, Maldives, Bangladesh dan Pakistan.

SIAPA SERTAI GSF KE GAZA?

Konvoi kemanusiaan ini disertai delegasi daripada 44 negara membabitkan lebih 50 kapal yang membawa pelbagai barangan bantuan keperluan asas dan perubatan untuk rakyat Palestin.

Misi ini juga disifatkan sebagai pelayaran kemanusiaan terbesar dunia apabila disertai kira-kira 1,000 peserta. Mereka terdiri daripada pelbagai latar belakang antaranya aktivis, doktor, pelayar, penggiat seni, selebriti, dan sebagainya.

BERAPA JUMLAH DELEGASI GSF DARI MALAYSIA?

Seramai 45 wakil Malaysia menyertai misi berkenaan, di mana mereka dibahagi kepada tiga kumpulan.

Kumpulan pertama membabitkan 15 delegasi Malaysia telah berlepas menerusi Pelabuhan Barcelona, Sepanyol pada 31 Ogos lalu.

Manakala 15 wakil Malaysia bakal berlepas dari pelabuhan Itali pada 4 September ini, diikuti 15 lagi peserta yang sedang bersedia di Tunisia.

Konvoi dari Itali dan Tunisia dijangka akan menyertai konvoi bersama kumpulan pertama dari Sepanyol.

Delegasi Malaysia terdiri daripada anggota NGO Cinta Gaza Malaysia, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Cinta Salam Malaysia, aktivitis serta selebriti Zizi Kirana dan Ardell Aryana.

PERJALANAN GSF KE GAZA

Kumpulan pertama, iaitu membabitkan 24 kapal bantuan kemanusiaan telah memulakan pelayaran dari Pelabuhan Barcelona, Sepanyol pada 31 Ogos lalu.

Kumpulan pertama itu dijangka akan berlayar bersama gelombang kedua iaitu kumpulan dari Itali dan Tunisia, termasuk beberapa kumpulan dari pelabuhan Maditterenean lain pada 4 September ini.

Perjalanan laut ke Gaza akan mengambil tempoh sehingga tujuh hingga lapan hari, bergantung kepada keadaan cuaca.

Setakat ini, tiada angka yang tepat berhubung jumlah kapal yang terlibat dalam misi GSF. Difahamkan, ia merupakan sebahagian daripada strategi untuk mengaburi maklumat sebenar kepada pihak Israel.

SEJARAH MISI KEMANUSIAAN KAPAL FLOTILLA

Pada 2008, dua bot dari Free Gaza Movement (FGM) berjaya sampai ke Gaza. Ia merupakan pelanggaran pertama sekatan tentera laut Israel.

Susulan itu, FGM melancarkan 31 bot antara 2008 sehingga 2016, dimana hanya lima daripadanya berjaya sampai ke Gaza.

Bermula 2010, Israel mengetatkan kawalan di perairan Gaza dan sejak itu, semua kapal bantuan kemanusiaan telah dipintas atau diserang di perairan antarabangsa.

2010 – Misi Gaza Freedom Flotilla

Anggota komando Israel menyerbu kapal Mavi Marmara di perairan antarabangsa sehingga membawa kepada perbalahan yang menyebabkan sembilan warga Turki maut dan puluhan aktivis cedera.

2011 – Misi Freedom Flotilla II

Freedom Flotilla II telah dilancarkan pada 2011 sebagai susulan kepada misi 2010. Dianjurkan oleh gabungan aktivis antarabangsa dan NGO, ia bertujuan untuk melanggar sekatan Israel ke atas Gaza dan menyampaikan bantuan kemanusiaan.

2015 – Misi Freedom Flotilla III

Freedom Flotilla III dilancarkan pada 2015 sebagai percubaan besar ketiga oleh aktivis antarabangsa untuk menembusi sekatan tentera laut Israel di Gaza. Misi itu diketuai aktivis Sweden.

2018 – Misi Just Future for Palestine

Misi ini juga dikenali sebagai Freedom Flotilla Gaza 2018. Ia adalah sebahagian daripada usaha berterusan untuk mencabar sekatan tentera laut Israel ke atas Gaza.

2025 – Misi Hapuskan Kepungan 'Conscience'

Semasa bersiap untuk belayar ke Gaza pada 2 Mei, kapal Conscience telah diserang dua kali oleh dron bersenjata, ketika berada hanya 14 batu nautika (25km) dari pantai kepulauan Malta, Laut Mediterranean.

Serangan itu mencetuskan kebakaran dan menyebabkan kemalangan yang melibatkan 30 aktivitis dari Turki dan Azerbaijan.

2025 – Misi Madleen

Kapal Madleen dilancarkan pada 9 Jun, namun ia telah dipintas oleh tentera Israel kira-kira 185km (100 batu nautika) dari Gaza, di perairan antarabangsa.

2025 – Misi Handala

Pada 26 Julai, tentera Israel menyerbu kapal Handala yang menuju ke Gaza, yang membawa bantuan kepada rakyat Palestin yang kelaparan.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.