SHAH ALAM, 3 SEPT: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) merakam keterangan Ahli Dewan Negeri (ADN) Manjoi, Mohd Hafez Sabri susulan penyebaran hantaran berunsur perkauman di media sosial.
Rakaman berlangsung di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman semalam, melibatkan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam siasatan terhadap dakwaan palsu seorang wanita menaiki pentas semasa sambutan Hari Kebangsaan peringkat Negeri Perak di Ipoh baru-baru ini.
Hantaran tersebut mendakwa kononnya individu berkenaan merupakan wanita berbangsa Cina, sedangkan siasatan Polis Bukit Aman mengesahkan dakwaan itu tidak benar dan berpotensi mencetuskan ketegangan kaum serta persepsi negatif masyarakat.
Kes disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara hingga dua tahun, atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.
SKMM turut menegaskan penyebaran kandungan palsu dan berunsur perkauman adalah perbuatan serius yang mengancam keharmonian awam.
Orang ramai dinasihat agar mengesahkan kesahihan maklumat sebelum membuat atau menyebarkannya di media sosial.