41 lelaki ditahan, senjata api tiruan bernilai lebih RM100,000 dirampas

2 Sep 2025, 1:00 PM
41 lelaki ditahan, senjata api tiruan bernilai lebih RM100,000 dirampas

KUANTAN, 2 SEPT: Polis menahan 41 lelaki tempatan dan merampas pelbagai jenis senjata api tiruan atau “air soft gun” dianggarkan bernilai lebih RM100,000 menerusi Op Laras di Padang Hangus, Gebeng, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Ashari Abu Samah berkata suspek berusia antara 21 hingga 66 tahun terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk pesara tentera, penjawat awam serta golongan profesional seperti jurutera dan doktor fisioterapi.

“Hasil maklumat, kumpulan itu merancang mengadakan aktiviti permainan perang menggunakan senjata api tiruan berkenaan di kawasan tanah rizab Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang belum dibangunkan.

“Polis merampas 406 barangan termasuk 65 laras senapang, 32 pistol angin, 130 kelopak peluru, 28 jaket kalis peluru, 40 helmet, gogal dan topeng celoreng,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan hari ini.

Operasi bersepadu itu dilaksanakan Bahagian D9 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang dengan kerjasama unit khas TLDM Kuantan.

Ashari berkata suspek mempunyai kumpulan WhatsApp bagi merancang aktiviti tersebut dengan senjata dipercayai dibeli melalui aplikasi dalam talian pada harga antara RM4,000 hingga RM6,000 seunit.

“Senjata dirampas dihantar untuk pemeriksaan bagi menentukan sama ada boleh digunakan dan dipasang peluru sebenar,” katanya.

Ashari berkata aktiviti seperti itu boleh menimbulkan keresahan awam selain berpotensi disalahgunakan bagi tujuan jenayah.

Semua suspek direman hingga Khamis, bagi siasatan mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 kerana memiliki senjata api tiruan tanpa lesen atau permit sah yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619