SHAH ALAM, 2 SEPT: Sekitar stesen transit aliran ringan (LRT) Cempaka ke Medan Selera Pandan Indah adalah kawasan 'black spot' jenayah yang dikenal pasti untuk pelaksanaan 'Projek Bandar Selamat'.
Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) menerusi kenyataan memaklumkan, babit peruntukan RM500,000, ia merupakan inisiatif Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia).
"Projek ini merupakan pelan jangka panjang bagi mengurangkan kadar jenayah, meningkatkan keselamatan awam serta memperbaiki kualiti hidup masyarakat sekitar.
"Inisiatif ini juga selaras dengan komitmen MPAJ untuk meningkatkan kualiti hidup orang awam melalui penyediaan infrastruktur, program komuniti serta langkah keselamatan yang mampan dan inklusif," kata kenyataan itu lagi.
Dijangka siap Oktober ini, MPAJ memaklumkan antara komponen utama dinaik taraf adalah pemasangan lima unit kamera litar tertutup, tambah baik laluan pejalan kaki dan meletakkan lima unit papan tanda.
Selain itu, jelasnya MPAJ turut memangkas pokok, membersihkan longkang dan memasang penghadang keselamatan selain mengadakan kempen keselamatan di kawasan sekitar.
"MPAJ juga akan pertimbangkan dari semasa ke semasa untuk meluaskan lagi 'Projek Bandar Selamat' ke kawasan lain tertakluk kepada keutamaan strategik dan sumber kewangan," katanya.