Pencuci kereta dipenjara 12 tahun, bakar tisu di pasar raya

2 Sep 2025, 9:37 AM
Pencuci kereta dipenjara 12 tahun, bakar tisu di pasar raya

KUCHING, 2 SEPT: Pencuci kereta dihukum penjara 12 tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah membakar bungkusan tisu dalam dua kejadian berasingan di dua pasar raya di sini, bulan lalu.

Hakim Musli Abdul Hamid menjatuhi Rizam Zawawi, 33, hukuman penjara lima tahun dan tujuh tahun, masing-masing bagi pertuduhan pertama dan kedua, serta memerintahkan hukuman itu bermula dari tarikh ditangkap pada 25 Ogos lalu.

Bagi pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa melakukan khianat menggunakan api dengan membakar tisu sehingga menyebabkan kerugian RM3,000 di sebuah pasar raya di Jalan Liu Shan Bang, Kota Sentosa di sini pada 3 petang, 17 Ogos lalu.

Dia juga didakwa melakukan perbuatan sama di sebuah pasar raya di Batu Kawa di sini pada 8 malam, 21 Ogos lalu, menyebabkan kerugian RM1,072.60.

Pendakwaan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan bagi setiap pertuduhan yang boleh dipenjara hingga 14 tahun dan dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ruvinasini Pandian dan Umi Syukriah Harun, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Menurut fakta kes, modus operandi tertuduh adalah dengan membakar tisu dan lampin pakai buang di premis berkenaan bagi mengalih perhatian pekerja dalam cubaan untuk mencuri barangan lain.

Di sebuah premis, dia berjaya melarikan sekotak minuman berkarbonat dan perbuatan itu dirakam kamera litar tertutup (CCTV) yang membawa kepada penahanannya.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619