175 pemain cilik, wanita sertai program bersama Harimau Malaya

2 Sep 2025, 7:34 AM
175 pemain cilik, wanita sertai program bersama Harimau Malaya
175 pemain cilik, wanita sertai program bersama Harimau Malaya
175 pemain cilik, wanita sertai program bersama Harimau Malaya

KUALA LUMPUR, 2 SEPT: Seramai 175 peserta terdiri pemain bola sepak cilik, junior, amputasi dan wanita hadir menyaksikan sesi latihan skuad Harimau Malaya kendalian Peter Cklamovski di Stadium Nasional Bukit Jalil semalam.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam hantaran di Facebook rasmi mereka memaklumkan program yang dinamakan ‘Semua Turun Padang! Wanita, Junior dan Amputee Bersama Harimau Malaya’ itu adalah hasil cetusan idea Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan badan induk bola sepak negara itu.

Menurut hantaran itu, peserta yang terlibat terdiri daripada skuad bola sepak wanita Bawah 20 Tahun (B20) negara, pelatih Akademi Mokhtar Dahari (AMD), pasukan amputasi dan barisan pemain cilik B8 Kepong FC yang menjuarai Piala Iber 2025.

“Pada program itu, peserta beramah mesra dengan barisan kejurulatihan dan pemain Harimau Malaya. Malah, mereka juga berpeluang bertanyakan sebarang soalan kepada Cklamovski dan beberapa pemain seperti Arif Aiman Hanapi, Faisal Halim, Shahrul Saad, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed, Azri Ghani, Dion Cools, Jon Irazabal, Paulo Josue dan bintang baharu Harimau Malaya Joao Figueiredo.

“Bagi peserta, peluang ‘bertentang mata’ dengan skuad Harimau Malaya bukan hanya satu pengalaman baharu tetapi lebih daripada itu. Ia dianggap momen cukup istimewa,” menurut hantaran berkenaan.

Program itu dihadiri Pemangku Presiden FAM Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi dan Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) KBS Chan Hong Jin.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619