ad

Rusuhan di Indonesia: Ekonomi Malaysia mungkin terjejas jika krisis berpanjangan

2 Sep 2025, 6:29 AM
Rusuhan di Indonesia: Ekonomi Malaysia mungkin terjejas jika krisis berpanjangan

SHAH ALAM, 2 SEPT: Rusuhan yang berlaku di Indonesia akan memberi kesan kepada ekonomi serta perdagangan Malaysia sekiranya berlanjutan dalam tempoh panjang.

Ia ekoran Malaysia turut bergantung kepada perusahaan produk republik itu seperti makanan, pakaian dan barangan asas lain, jelas pensyarah kanan hubungan antarabangsa Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Dr Amer Fawwaz Mohamad Yasid berkata Malaysia juga turut mengeksport produk dan bahan mentah seperti barangan elektrik ke Indonesia, yang turut memacu peningkatan ekonomi negara.

“Jika rusuhan berlaku dalam tempoh sebulan dua ini, ia tidak akan beri kesan namun sekiranya berlarutan sehingga setahun hingga dua tahun, secara automatik akan beri kesan kepada ekonomi dan sosial.

“Kalau pentadbiran Indonesia tidak meredakan keadaan di sana, ke hadapan nanti memang akan menimbulkan isu yang besar. Akan beri kesan kepada perindustrian dan perdagangan antara Indonesia dan Malaysia,” katanya kepada Media Selangor.

Pensyarah Kanan Hubungan Antarabangsa, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi (FSPPP) Universiti Teknologi MARA, Dr Amer Fawwaz Mohamad Yasid

Mengulas lanjut Amer berkata meskipun Malaysia menjadi pengerusi Asean tahun ini, namun perdana menteri dilihat tidak sesuai mengambil pendekatan sebagai orang tengah bagi meredakan kehangatan.

Ia memandangkan rusuhan berkenaan berpunca daripada konflik dalaman negara terbabit, di samping terdedahnya beberapa skandal lain yang melibatkan pimpinan atasan mereka seterusnya membangkitkan kemarahan rakyat.

“Krisis ini berbeza dengan konflik antara Kemboja-Thailand. Itu melibatkan politik serantau. Ini melibatkan isu domestik, isu politik dalaman Indonesia.

“Kita masih lagi terikat dengan perjanjian Asean, di mana setiap negara perlu menghormati sistem politik ataupun agenda sesebuah negara. Mungkin niat kita baik namun ini boleh disalah anggap dan ingin mencampur urusan dalaman mereka,” katanya.

Amer berkata barisan kepimpinan negara perlu mengambil ikhtibar terhadap insiden hangat yang berlaku ini sekali gus memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat sentiasa terjamin.

“Dalam konteks politik, kestabilan dalaman itu penting. Ahli politik, jemaah menteri perlulah telus dan elakkan segara bentuk skandal melibatkan ketirisan, rasuah dan salah guna kuasa.

“Selain itu aspek ketidaktentuan ekonomi. Perlu lihat kewajaran dasar dan polisi. Negara memang mahu meningkatkan fiskal, perbelanjaan atau elaun tetapi kena lihat kesesuaian ekonom,” katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.