SHAH ALAM, 2 SEPT: EXCO Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan mengecam kenyataan berunsur perkauman seorang wakil rakyat berkait insiden cubaan serangan ke atas Sultan Perak ketika sambutan Hari Kebangsaan, Ahad lalu.
V Papparaidu berkata kenyataan yang dikeluarkan Ahli Dewan Negeri itu menerusi laman sosial adalah tidak bertanggungjawab, berunsur perkauman serta berpotensi menggugat keharmonian dan ketenteraman awam.
Jelasnya, wakil rakyat perlu menunjukkan teladan yang baik kepada rakyat dan sebarang kenyataan perlu disemak terlebih dahulu bagi mengelak timbulnya kekeliruan dan kebencian antara kaum.
“Perlu ditegaskan bahawa mengaitkan bangsa dalam sesuatu insiden adalah tindakan tidak adil dan berbahaya. Ia boleh mencetuskan salah faham seolah-olah keseluruhan kaum bertanggungjawab, sedangkan ia hanya melibatkan individu tertentu.
“Saya menasihatkan semua pihak, khususnya pemimpin masyarakat dan Yang Berhormat (YB), agar mengamalkan sikap tabayyun iaitu menyemak fakta serta memastikan kesahihan berita terlebih dahulu sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.
“Jangan sesekali memperjudikan perpaduan rakyat yang kita pertahankan selama 68 tahun kemerdekaan ini dan baru sahaja kita raikan, semata-mata kerana kepentingan politik sempit,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Beliau mengulas kenyataan yang dikeluarkan ADN Manjoi, Hafez Sabri yang mendakwa insiden wanita yang cuba menyerang Sultan Nazrin Shah adalah berbangsa Cina.
Sabtu lalu, seorang wanita tempatan berusia 41 tahun itu cuba menyerang Sultan Nazrin Shah di atas pentas utama dan direman selama tiga hari.
Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata kes disiasat di bawah Seksyen 325/511 Kanun Keseksaan kerana cubaan menyebabkan cedera parah.
Papparaidu menegaskan perkara itu perlu diberi kepada pihak berkuasa untuk memutuskan latar belakang wanita tersebut berdasarkan siasatan atau pemeriksaan profesional bukannya kenyataan politik terburu-buru.
“Sebagai seorang pemimpin masyarakat, YB wajib menjaga tutur kata dan setiap kenyataan. Apa jua kenyataan yang menyentuh kaum, agama dan Institusi Raja mestilah dibuat dengan penuh tanggungjawab bukan menimbulkan keresahan.
“Insiden seperti ini harus dilihat sebagai satu bentuk ekspresi kasih dan taat setia rakyat kepada Raja. Sama ada ia melanggar tatasusila atau sebaliknya biarlah pihak istana atau pihak berkuasa menentukannya,” katanya.