ad

Tiada rakyat Malaysia terjejas gempa bumi Afghanistan

1 Sep 2025, 3:00 PM
Tiada rakyat Malaysia terjejas gempa bumi Afghanistan

PUTRAJAYA, 1 SEPT: Tiada rakyat Malaysia di Pakistan dilaporkan terjejas susulan gempa bumi bermagnitud 6.0 yang melanda timur Afghanistan lewat semalam dan mengorbankan sekurang-kurangnya 800 orang serta menyebabkan kerosakan besar.

Dalam kenyataan hari ini, Kementerian Luar memantau rapat kesan gempa bumi kuat dan beberapa susulan gempa bumi yang menggegarkan timur Afghanistan hari ini, berhampiran sempadan dengan Pakistan.

Gempa bumi itu turut dirasai secara meluas termasuk di ibu negara Pakistan, Islamabad. Lebih 1.2 juta orang mengalami gegaran kuat, manakala laporan menunjukkan kerosakan besar di kawasan pergunungan terpencil.

Kementerian Luar melalui Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Islamabad memaklumkan pihaknya kekal berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan di Pakistan dan sedang memantau keadaan.

“Rakyat Malaysia yang menetap atau berada di kawasan terjejas di Pakistan dinasihatkan sentiasa berwaspada, mematuhi panduan keselamatan yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan, dan mendapatkan maklumat melalui saluran rasmi.

“Mereka yang belum mendaftar kehadiran sangat digalakkan berbuat demikian melalui E-Konsular bagi memastikan sokongan dan komunikasi dapat diberikan dengan segera,” menurut kenyataan itu.

Kementerian itu berkata ia akan terus memantau perkembangan serta mengeluarkan makluman dari semasa ke semasa.

Bantuan konsul boleh diperoleh di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Islamabad, Plot No. 144–150, Street No. 17, Sector G-5, Diplomatic Enclave.

Talian penting konsular ialah +92 51 207 2900 sambungan 124, 125 atau 119, atau +92 51 283 3200, manakala e-mel boleh dihantar ke [email protected].

Anadolu Ajansi melaporkan Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) merekodkan gempa itu pada 11.47 malam waktu tempatan (1917 GMT), terletak 27 kilometer timur-timur laut Jalalabad pada kedalaman 8 km.

Pihak berkuasa memaklumkan angka korban dan cedera masih belum muktamad kerana mereka masih lagi berhubung dengan penduduk di banyak kawasan terpencil, manakala pasukan bantuan sedang dalam perjalanan untuk menyelamatkan mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.