SHAH ALAM, 1 SEPT: Laporan bedah siasat kematian pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin, 22, dijangka diketahui dalam tempoh tiga bulan.
Peguam keluarga Allahyarham Datuk Naran Singh memaklumkan buat masa ini pihak berkuasa perlu menunggu laporan daripada Hospital Johor Bahru di mana bedah siasat pertama dibuat.
“Selepas itu, doktor pakar forensik juga perlu mendapatkan laporan tersebut selain menunggu laporan kimia yang akan dihantar. Ini penting untuk mendapatkan laporan penuh dan lengkap.
“Jabatan Peguam Negara akan menentukan keperluan inkues terhadap kematian Allahyarham selepas menerima laporan penuh bedah siasat kali kedua daripada Polis Diraja Malaysia,” lapor Astro Awani.
Allahyarham Syamsul Haris, penuntut UTM Skudai, Johor dilaporkan meninggal dunia pada 28 Julai lalu di Hospital Kota Tinggi ketika menjalani latihan di Lapang Sasar Imunisasi Tempur, Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (Pulada) di Ulu Tiram.
Jenazah arwah dikebumikan pada 29 Julai di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Hulu, Semenyih, Selangor.
19 Ogos lalu, ibu Allahyarham Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45, mengemukakan permohonan menggali semula kubur bagi membolehkan bedah siasat kedua dijalankan serta mencadangkan untuk memulakan prosiding inkues bagi menyiasat punca kematian anaknya.
Jasad Syamsul Haris, 22, digali semula pada 29 Ogos selepas perintah mahkamah yang membenarkan bedah siasat kedua dilakukan.
Pada masa sama, Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar berkata siasatan penuh perlu dijalankan dengan penelitian pelbagai aspek sebelum sebarang arahan diberikan.
Katanya, beliau sendiri sudah menghubungi PDRM bagi mendapatkan laporan penuh hasil bedah siasat kedua.
“Kita tidak boleh memberi kata putus sehingga sebarang arahan diberikan, sama ada inkues perlu diadakan atau tidak. Siasatan penuh wajar dilakukan terlebih dahulu dengan penelitian menyeluruh,” katanya.