ad

AS mungkin jadi 'negara dunia ketiga' jika tarif dibatalkan - Trump

1 Sep 2025, 7:58 AM
AS mungkin jadi 'negara dunia ketiga' jika tarif dibatalkan - Trump

MOSCOW, 1 SEPT: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump berkata negaranya akan menjadi “negara dunia ketiga” sekiranya tarif yang beliau kenakan dibatalkan oleh mahkamah.

Terdahulu, Mahkamah Rayuan AS memutuskan bahawa Trump tidak mempunyai kuasa untuk mengenakan tarif dengan cara yang dilakukannya, sekali gus menjadikan kebanyakan tarif terbabit tidak sah.

Namun, mahkamah mengekalkan pelaksanaannya sehingga perbicaraan di Mahkamah Agung pada 14 Oktober.

“Lebih daripada US$15 trilion akan dilaburkan di AS, satu REKOD.

“Sebahagian besar pelaburan ini adalah hasil daripada tarif.

"Jika Mahkamah Kiri Radikal dibenarkan membatalkan tarif ini, hampir semua pelaburan, malah lebih lagi akan serta-merta dibatalkan! Dalam banyak hal, kita akan menjadi Negara Dunia Ketiga, tanpa harapan untuk kembali HEBAT. MASA AMAT PENTING!!!” kata Trump di platform Truth Social.

Trump menandatangani perintah eksekutif pada 1 Ogos untuk mengenakan tarif ke atas beberapa negara dengan kadar antara 10 hingga 41 peratus, menurut dokumen yang dikeluarkan Rumah Putih.

Tarif baharu itu dikenakan ke atas 69 rakan dagangan AS dan mula berkuat kuasa pada 7 Ogos.

- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.