GOMBAK, 1 SEPT: Ribuan penduduk tidak melepaskan peluang memanfaatkan Bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) RM100 dengan mengunjungi Karnival 100 Jualan Ehsan Rahmah (JER) di Padang Awam Batu Caves, di sini hari ini.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sambutan luar biasa itu membuktikan inisiatif Kerajaan Perpaduan bersama Kerajaan Negeri benar-benar sampai kepada rakyat dalam membantu meringankan beban kos sara hidup.

“Keberkesanan usaha ini jelas dilihat menerusi program Jualan Ehsan Rahmah (JER) anjuran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
“Program JER yang kini memasuki tahun ketiga pelaksanaannya telah membuktikan kemampuan Kerajaan Negeri menjana impak ekonomi positif dan mampan untuk rakyat,” katanya ketika merasmikan karnival berkenaan.

Beliau yang juga Ahli Dewan Negeri Sungai Tua turut memaklumkan lebih 4,000 pengunjung dijangka hadir dengan bekalan barangan asas mencukupi disediakan sepanjang program.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PKPS Dato’ Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi berkata lebih 20 jenis barangan asas dijual pada harga rendah, membolehkan rakyat memanfaatkan bantuan SARA dengan sebaiknya.

“Dengan hanya RM100, rakyat boleh mendapatkan sehingga 20 jenis barangan asas seperti beras, santan, tepung gandum, sardin, kicap, kopi dan telur.
“Selain itu, PKPS juga komited melaksanakan inisiatif sebegini demi menjamin kesejahteraan rakyat selari aspirasi Kerajaan Negeri,” katanya.
Pada 23 Julai lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pemberian RM100 sekali beri kepada setiap warganegara berusia 18 tahun ke atas melalui MyKad di bawah program SARA, yang boleh dibelanjakan sehingga 31 Disember 2025.
