ad

Nurul Izzah, Amirudin ajak kongsi rezeki SARA kepada golongan memerlukan

31 Ogos 2025, 1:58 PM
Nurul Izzah, Amirudin ajak kongsi rezeki SARA kepada golongan memerlukan
Nurul Izzah, Amirudin ajak kongsi rezeki SARA kepada golongan memerlukan

SHAH ALAM, 31 OGOS: Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) dan Dato’ Menteri Besar mengajak wakil rakyat parti itu serta mereka yang berkemampuan menyalurkan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) RM100 kepada golongan memerlukan.

Nurul Izzah Anwar dan Dato’ Seri Amirudin Shari bersepakat melaksanakan inisiatif 'Pass It Forward' atau memanjangkan bantuan SARA kepada golongan memerlukan hari ini.

"RM100 mungkin jumlah kecil bagi sesetengah pihak tetapi besar maknanya buat keluarga yang hidup dalam serba kekurangan.

"Ia boleh jadi rezeki yang mengenyangkan perut anak-anak dan keluarga tersayang. Saya juga mengajak rakan-rakan YB KEADILAN untuk turut sama "Pass It Forward" dengan RM100 mereka (atau lebih) supaya lebih ramai keluarga kurang berkemampuan dapat dibantu,” kata Nurul Izzah menerusi Facebook hari ini.

Menurutnya, semangat kemerdekaan bukan sekadar slogan sebaliknya hasil perjuangan bersama, justeru masyarakat perlu menghulurkan kembali bantuan kepada rakyat yang berdepan kesempitan hidup.

“Setiap orang berhak untuk menikmati hidangan di atas meja mereka. Jangan biarkan sesiapa pun tersisih,” katanya yang turut mengucapkan Selamat Hari Kebangsaan ke-68 kepada seluruh rakyat Malaysia pada hantaran itu.

SARA RM100 ialah bantuan tunai sekali bayar diberikan kepada semua rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas tanpa perlu membuat permohonan dan boleh digunakan di lebih 7,000 premis perniagaan berdaftar seluruh negara sehingga 31 Disember ini.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.