ad

Kenang jasa pejuang lama, semai patriotisme kepada generasi muda

31 Ogos 2025, 4:38 AM
Kenang jasa pejuang lama, semai patriotisme kepada generasi muda
Kenang jasa pejuang lama, semai patriotisme kepada generasi muda
Kenang jasa pejuang lama, semai patriotisme kepada generasi muda
Kenang jasa pejuang lama, semai patriotisme kepada generasi muda
Kenang jasa pejuang lama, semai patriotisme kepada generasi muda

SHAH ALAM, 31 OGOS: Sambutan Hari Kebangsaan bukan sekadar perarakan atau pertunjukan semata-mata, tetapi menjadi momen penting untuk mengimbau pengorbanan generasi terdahulu memperjuangkan kemerdekaan.

Menurut Penolong Pegawai Memerintah Batalion Kedua Rejimen 502 Askar Wataniah, Mejar Ashraf Reezal Asari, generasi muda hari ini dapat merasai semangat patriotisme itu menerusi pameran ketenteraan sempena Hari Kebangsaan.

“Ramai anak muda hari ini hanya kenal setiap jenis senjata melalui permainan video sahaja. Jadi, di sini adalah peluang mereka untuk melihat dan kenali sendiri persenjataan yang digunakan pasukan keselamatan negara,” katanya.

Penolong Pegawai Memerintah Batalion Kedua Rejimen 502 Askar Wataniah, Mejar Ashraf Reezal Asari. Foto UFAIRAH TARMIDZI/MEDIA SELANGOR

Beliau ditemui pada Sambutan Hari Kebangsaan ke-68 Peringkat Negeri Selangor di Dataran Kemerdekaan, di sini, semalam.

Tambah Ashraf Reezal, rakyat juga tidak boleh melupakan jasa wira lama yang berjuang untuk kemerdekaan dan sikap toleransi dalam diri setiap individu mampu menyatukan negara ke arah keharmonian berterusan.

Siti Nor Ain Ismail bersama Putri Nurhaliza Muhammad Ridzuan pada Sambutan Hari Kebangsaan ke-68 Peringkat Negeri Selangor di Dataran Kemerdekaan, Shah Alam pada 30 Ogos 2025. Foto UFAIRAH TARMIDZI/MEDIA SELANGOR

Sementara itu, pengunjung, Siti Nor Ain Ismail, 34, berkata sambutan tahun ini lebih bermakna apabila beliau membawa keluarga meraikan hari istimewa tersebut sambil menyambut kelahiran anaknya yang jatuh pada 31 Ogos.

“Anak saya sangat teruja untuk hadir ke sambutan yang diadakan ini sambil dia mengenakan pakaian mengikut warna pada Jalur Gemilang.

“Dalam pada itu, sambutan seperti ini adalah peluang terbaik kepada ibu bapa untuk membawa anak-anak supaya mereka lebih menghargai keamanan dan cintakan negara sejak kecil lagi,” jelasnya.

Dr Ranjithamalar Kumar bersama ibu bapanya pada Sambutan Hari Kebangsaan ke-68 Peringkat Negeri Selangor di Dataran Kemerdekaan, Shah Alam pada 30 Ogos 2025. Foto UFAIRAH TARMIDZI/MEDIA SELANGOR

Seorang pengunjung lagi, Dr Ranjithamalar Kumar, 50, berkata beliau memilih untuk membawa ibu bapanya sebagai tanda penghargaan terhadap perjuangan terdahulu.

“Ini merupakan kali pertama kami ke sini dan lebih menyentuh hati lagi apabila bapa saya yang merupakan pesara tentera udara.

“Selain itu, saya sebagai warga pendidik juga bertanggungjawab untuk mengajar generasi muda sedar dan berterima kasih dengan pengorbanan generasi sebelum ini,” tambahnya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.