SHAH ALAM, 31 OGOS: Keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap kebajikan bekas anggota keselamatan terus dizahirkan menerusi sumbangan berjumlah RM50,000 kepada pesara polis dan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Pengerusi Persatuan Bekas Polis Selangor, Rosli Hashim berkata ini merupakan tahun ketiga bantuan kebajikan itu diterima, sekali gus membuktikan komitmen berterusan kepimpinan negeri terhadap nasib mereka.

“Dato Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari dan Kerajaan Selangor sangat prihatin terhadap nasib pesara polis. Kebanyakan kami kini tergolong dalam kumpulan berpendapatan rendah (B40), jadi sumbangan ini sangat membantu.
“Justeru, kami amat berharap bantuan ini dapat diteruskan demi kebajikan pesara polis di Selangor kerana sumbangan ini akan digunakan untuk keperluan penting seperti kerusi roda dan katil hospital bagi pesara yang uzur,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Sambutan Hari Kebangsaan ke-68 peringkat Selangor di Dataran Kemerdekaan di sini, malam tadi.

Yang Dipertua Persatuan Veteran ATM Selangor, Mohd Din Husnin turut menyatakan penghargaan atas bantuan sempena Sambutan Hari Kebangsaan ke-68 Peringkat Selangor.
“Kami bersyukur dengan bantuan yang diterima daripada Kerajaan Negeri. Ia banyak meringankan beban kewangan dan memudahkan urusan pentadbiran persatuan.
“Veteran ATM adalah sebahagian daripada tonggak keselamatan negara selain sumbangan ini bukan sahaja kepada disalurkan kepada mereka malah ia termasuk balu anggota serta anak-anak mereka,” jelasnya.

Terdahulu, Amirudin tampil memimpin detik bersejarah sambutan dengan melaungkan ‘Merdeka’ sebanyak tujuh kali dengan penuh semangat dan diikuti kira-kira 30,000 hadirin.
Pengunjung juga dipertonton gimik persembahan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) selain perbarisan dan perarakan melibatkan lebih 80 kontinjen merangkumi pelbagai agensi, badan berkanun, badan bukan kerajaan (NGO) dan sekolah sekitar negeri ini.