SHAH ALAM, 30 OGOS: Pelajar lelaki tingkatan tiga yang terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama sebuah sekolah di Sabak Bernam 26 Ogos lalu sudah menjalani prosedur khas bagi mengawal tekanan dalam otak, kata EXCO kesihatan awam.
Jamaliah Jamaluddin berkata, rawatan kecemasan itu berjaya dilengkapkan dalam tempoh 48 jam pertama.
"Setakat hari ketiga selepas rawatan, keadaan pelajar dilaporkan lebih stabil dan menunjukkan tindak balas positif. Pasukan perubatan terus memantau perkembangannya dari semasa ke semasa.
"Berdasarkan maklum balas rasmi daripada Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), pelajar tersebut masih menerima rawatan rapi di Unit Rawatan Intensif (ICU), Hospital Sungai Buloh," katanya dalam kenyataan hari ini.
Jamaliah berkata, pihaknya juga menzahirkan rasa simpati dan berdoa agar pelajar berkenaan segera pulih.
"Kerajaan Negeri menyeru semua pihak memberi ruang kepada keluarga mangsa serta mengelak membuat atau menyebarkan spekulasi yang boleh menjejaskan emosi mereka," katanya.
Tambahnya Kerajaan Negeri bersama JKNS akan terus memantau perkembangan kesihatan pelajar itu dan memberikan sokongan yang diperlukan keluarganya.
Semalam EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari berkata, pelajar berkenaan sudah mula menggerakkan kaki berbanding sebelum ini tidak sedarkan diri.
Sebelum ini, polis mengesahkan menerima laporan berhubung insiden pelajar lelaki tingkatan tiga dilaporkan terjatuh dari tingkat tiga asrama sebuah sekolah di Sabak Bernam.
Ketua Polis Selangor Dato’ Shazeli Kahar berkata, pihaknya sudah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.
Beliau berkata, kes disiasat daripada pelbagai sudut termasuk aspek keselamatan pelajar, pengurusan asrama serta latar belakang sosial mangsa dan rakan.
Beliau turut memaklumkan, polis kini sedang mengumpul keterangan daripada saksi dan individu berkaitan bagi mengenal pasti punca kejadian.