ad

Guru kelar isteri direman enam hari, polis siasat cubaan bunuh

30 Ogos 2025, 7:15 AM
Guru kelar isteri direman enam hari, polis siasat cubaan bunuh

BALIK PULAU, 30 OGOS: Guru lelaki yang mengelar isterinya dengan sebilah pisau dalam kejadian di rumah mereka di Taman Tunas Muda, Sungai Ara, di sini Rabu lalu direman enam hari bermula hari ini.

Ketua Polis Daerah Barat Daya ACP Sazalee Adam berkata perintah reman hingga 4 September ini dikeluarkan Mahkamah Majistret Balik Pulau terhadap suspek berusia 30 tahun itu bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

Beliau berkata siasatan lanjut mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan membunuh.

Semalam, beliau dilaporkan berkata berdasarkan siasatan awal polis suspek dikatakan terbeban dengan hutang pinjaman bank dan ansuran e-dagang yang menjadi punca pergaduhan sebelum dia bertindak mengelar isterinya.

Sazalee berkata siasatan mendapati suspek membuat pinjaman bank untuk pelaburan saham dan dia juga membayar ansuran barangan yang dibeli melalui platform e-dagang namun menolak dakwaan dia berhutang dengan along kerana pinjaman tersebut dibuat dengan institusi kewangan yang sah.

Dalam kejadian kira-kira 6 pagi Rabu lalu, seorang guru lelaki bertindak mengelar leher isterinya sebelum mencederakan dirinya sendiri dengan menggunakan sebilah pisau dalam kejadian di bilik tidur pasangan tersebut di Taman Tunas Muda.

Kejadian disedari oleh ibu mangsa yang terdengar jeritan anaknya dari tingkat atas rumah dua tingkat tersebut, sebelum terus naik dan mendapati mangsa ditindih sebelum menarik wanita itu turun dari katil bagi menyelamatkannya.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.