ad

Perang tanpa liputan: Gaza terkepung, media dibungkam

31 Ogos 2025, 11:00 PM
Perang tanpa liputan: Gaza terkepung, media dibungkam

Selama hampir dua tahun, Israel terus menutup pintu Gaza daripada liputan media. Wartawan antarabangsa tidak dibenarkan masuk, menjadikan konflik ini sebagai satu-satunya peperangan moden yang berlangsung tanpa akses langsung daripada pihak luar. Sementara itu, wartawan tempatan mereka yang paling dekat dengan realiti di lapangan menjadi sasaran yang tidak bersuara.

Mereka bukan sahaja bergelut dengan perpindahan paksa dan kelaparan, malah nyawa mereka menjadi taruhan setiap kali kamera diangkat. Angka korban mencecah sekurang-kurangnya 210 wartawan yang terbunuh oleh tentera Israel, dengan ratusan lagi cedera, diburu, dan diugut hanya kerana menjalankan tugas: menjadi saksi kepada kebenaran.

Antara wartawan yang terbunuh ketika bertugas di Gaza termasuklah wartawan Reuters Hussam al-Masri yang terkorban Isnin lepas dalam serangan rejim Israel ke atas sebuah hospital. Turut terkorban dalam tragedi dirakam kamera itu adalah wartawan Palestin Mariam Abu Dangga, Mohammed Salama, Moaz Abu Taha, dan Ahmed Abu Aziz.

Kekejaman ini bukan sekadar cubaan untuk menutup mata dunia terhadap penderitaan rakyat Gaza, tetapi juga serangan langsung terhadap kebebasan media dan hak masyarakat antarabangsa untuk mengetahui kebenaran. Wartawan dibunuh, keluarga mereka dimusnahkan, dan orang awam terus menjadi mangsa serangan tanpa belas.

Di sebalik runtuhan bangunan dan siren bom, kamera-kamera yang bisu itu bercerita tentang nyawa yang dipadamkan, tentang suara yang cuba dihapuskan, dan tentang sebuah rejim yang menjadikan kebenaran sebagai musuh.

Orang ramai mengiringi pengebumian wartawan Al Jazeera, Anas Al Sharif, Mohammed Qreiqeh, Ibrahim Zaher, Mohammed Noufal serta seorang rakan sekerja lain yang terbunuh dalam serangan Israel, di Bandar Gaza pada 11 Ogos 2025. Di tengah kesedihan, mereka diperingati sebagai saksi kebenaran yang gugur di medan tugas. REUTERS/Dawoud Abu Alkas

Kakitangan Al Jazeera berkumpul di studio rangkaian itu bagi memperingati rakan sekerja mereka Anas Al Sharif, Mohammed Qreiqeh, Ibrahim Zaher, Mohammed Noufal serta seorang lagi rakan yang terbunuh dalam serangan Israel di Bandar Gaza, di Doha, Qatar, pada 11 Ogos 2025. REUTERS/Ibraheem Abu Mustafa

Doktor Palestin, Ahmed Basal, memeriksa seorang kanak-kanak bagi gejala kekurangan zat makanan di Hospital Al-Rantisi, Bandar Gaza, pada 7 Ogos 2025. REUTERS/Dawoud Abu Alkas

Penduduk Palestin berkumpul bagi menerima bantuan makanan daripada dapur amal di Khan Younis, selatan Semenanjung Gaza, pada 21 Ogos 2025. REUTERS/Hatem Khaled

Seorang lelaki memegang peralatan yang digunakan oleh jurukamera Palestin, Hussam al-Masri, yang merupakan kontraktor untuk Reuters, di lokasi beliau terbunuh bersama wartawan lain serta orang awam dalam serangan Israel ke atas Hospital Nasser di Khan Younis, selatan Semenanjung Gaza. Imej pegun ini diambil daripada rakaman video oleh kontraktor Reuters, Hatem Khaled, yang cedera tidak lama kemudian dalam satu lagi serangan ketika beliau sedang merakam lokasi tersebut, pada 25 Ogos 2025. REUTERS/Hatem Khaled

Sabrine Toushtash menyediakan dukkah untuk anak-anaknya di dalam sebuah khemah perlindungan, di tengah-tengah krisis kelaparan dan kekurangan makanan, di Bandar Gaza, pada 7 Ogos 2025. REUTERS/Dawoud Abu Alkas

Penduduk Palestin berkumpul berhampiran sebuah tanah perkuburan ketika asap menjulang selepas satu letupan dalam operasi ketenteraan Israel di Bandar Gaza, pada 28 Ogos 2025. REUTERS/Dawoud Abu Alkas

Para hadirin mengusung jenazah jurukamera Palestin, Hussam al-Masri, yang merupakan kontraktor untuk Reuters, selepas beliau terbunuh bersama wartawan lain serta orang awam dalam serangan Israel ke atas Hospital Nasser di Khan Younis, selatan Semenanjung Gaza, pada 25 Ogos 2025. REUTERS/Stringer

Seorang bapa Palestin, Mahmoud Abedrabo, meratapi jenazah anaknya, Hamada, yang terbunuh dalam serangan Israel menurut petugas perubatan, di Hospital Al-Shifa, Bandar Gaza, pada 24 Ogos 2025. REUTERS/Mahmoud Issa

Peralatan yang digunakan oleh jurukamera Palestin, Hussam al-Masri, yang merupakan kontraktor untuk Reuters, kelihatan terbiar di lokasi beliau terbunuh bersama wartawan lain serta orang awam dalam serangan Israel ke atas Hospital Nasser di Khan Younis, selatan Semenanjung Gaza, dalam imej pegun yang diambil daripada video pada 25 Ogos 2025. REUTERS/Hatem Khaled

Seorang peserta membawa plakad bertulis Free Palestine! Ceasefire Now serta hirisan tembikai dengan tulisan Free Palestine ketika menyertai Perhimpunan Malaysia Bangkit Untuk Gaza di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada 9 Ogos 2025. Warna merah, hijau, putih dan hitam pada tembikai itu melambangkan bendera Palestin, sekali gus menjadi cara kreatif orang ramai untuk terus menunjukkan sokongan tanpa memaparkan bendera Palestin secara langsung. BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.