ad

MB: Pendidikan, ilmu kunci menuju 100 tahun kemerdekaan Malaysia

29 Ogos 2025, 7:33 AM
MB: Pendidikan, ilmu kunci menuju 100 tahun kemerdekaan Malaysia
MB: Pendidikan, ilmu kunci menuju 100 tahun kemerdekaan Malaysia
MB: Pendidikan, ilmu kunci menuju 100 tahun kemerdekaan Malaysia

SHAH ALAM, 29 OGOS: Selangor dan Malaysia harus keluar daripada bayang-bayang ketakutan, khususnya menjelang 100 tahun kemerdekaan negara yang akan dicapai pada 2057, 32 tahun lagi.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata keberanian itu mampu dicapai menerusi pemahaman masyarakat dalam ilmu pengetahuan serta keupayaan dalam bidang sains dan teknologi.

Hal ini, menurutnya, harus berpaksikan pemikiran tokoh Harold Bloom dan Pendeta Za’ba dimana Harold percaya karya agung berupaya membentuk imaginasi manusia, manakala Zaa’ba menegaskan kepentingan pendidikan serta akal budi.

“Titik pertemuan di antara Bloom dan Za’ba inilah yang harus menjadi paksi dan landasan kepada kita untuk menuju ke usia 100 tahun negara dan bangsa kita.

“Justeru, menjelang 30 hingga 32 tahun ke depan, pendidikan akan menjadi inspirasi utama. Pendidikan yang akan menyedarkan umat, yang akan membawa kepada tercerahnya mereka,” katanya ketika menyampaikan Syarahan Kebangsaan, hari ini.

Program julung kali di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di sini, menghimpunkan semua pemimpin pentadbiran negeri dan masyarakat setempat yang diadakan sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-68.

Ketika ini, Amirudin berkata, dunia berdepan cabaran dalam menentukan kebenaran atau fitnah, yang akhirnya menimbulkan kekeliruan serta salah anggap yang merosakkan bangsa dan negara.

Jelasnya, hanya dengan ilmu masyarakat mampu memisahkan antara yang hak dan batil sekali gus tidak lagi terjajah atau menjadi hamba kepada penipuan.

“Tanggungjawab kita ialah membina asas, supaya kemerdekaan itu bukan hanya soal penjajah yang memegang tangan, memegang harta, atau harta kita hilang daripada genggaman kita. Kemerdekaan itu bermula daripada hati dan minda kita,” katanya.

Beliau turut mengimpikan Selangor dan Malaysia mampu menjadi generasi yang mampu mencari kebenaran serta menolak yang salah, menjelang hari kemerdekaan ke-100 tahun kelak.

Ahli Parlimen Gombak itu percaya, Rukun Negara yang diperkenalkan pada 1970 menyediakan asas yang cukup selain merupakan paksi utama untuk merealisasikan impian tersebut.

“Bagi saya asas-asas inilah yang kemudian kita teliti dan sambut demi menyediakan 100 tahun Selangor yang cemerlang, yang hebat dan bertambah maju,” katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.