Jahitan baju merdeka Normadihah tarik pelanggan dari seluruh negara

29 Ogos 2025, 7:00 AM
Jahitan baju merdeka Normadihah tarik pelanggan dari seluruh negara
Jahitan baju merdeka Normadihah tarik pelanggan dari seluruh negara
Jahitan baju merdeka Normadihah tarik pelanggan dari seluruh negara
Jahitan baju merdeka Normadihah tarik pelanggan dari seluruh negara
Jahitan baju merdeka Normadihah tarik pelanggan dari seluruh negara

PETALING JAYA, 29 OGOS: Tujuh belas tahun lalu, Normadihah Md Nor, hanya sekadar suka-suka menjahit busana bertemakan kemerdekaan bagi digayakan anak-anaknya ke sekolah.

Tidak pernah terlintas dalam fikiran wanita berusia 43 tahun ini untuk menjadikan hasil kerja tangannya diperaga ratusan kanak-kanak setiap kali menjelang bulan kemerdekaan.

Normadihah mula menjinakkan diri menghasilkan pakaian bertemakan merdeka sejak tiga tahun lalu bagi berkongsi kegembiraan dan kemeriahan sambutan merdeka selain menyemai rasa cintakan negara.

Anak kelahiran Kuala Terengganu ini berkata, sebelum ini beliau hanya membuka tempahan menjahit langsir dan pakaian harian di butiknya yang terletak di bangunan tingkat atas Selera Lindungan, di sini.

“Namun saya terfikir, mengapa saya tidak cuba ambil tempahan buat baju merdeka untuk kanak-kanak lain? Sebelum ini ada juga pelanggan bertanya, tetapi saya belum berani ambil tempahan.

“Jadi sejak tiga tahun lalu, saya beranikan diri dan mula ambil tempahan. Saya menggunakan media sosial sebagai perantara utama. Alhamdulillah hasilnya amat memuaskan,” katanya ketika ditemui Media Selangor, baru-baru ini.

Menerusi akaun Facebooknya Diha Diha Diha Fesyen, ibu lima anak ini tidak menang tangan menerima tempahan dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak setiap kali menjengah bulan Julai dan Ogos.

Normadihah Md Nor, 43, menerima lebih 50 tempahan baju tema merdeka dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak setiap tahun ketika ditemui di kedainya di Selera Lindungan, Kampung Lindungan, Petaling Jaya, Selangor pada 25 Ogos 2025. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR

Normadihah menyifatkan kemeriahan menerima tempahan pakaian hari kemerdekaan hampir setanding dengan kesibukan menyiapkan baju Aidilfitri pelanggan saban tahun.

“Setiap tahun saya terima lebih 50 tempahan untuk baju tema merdeka dari seluruh negara. Memang kemeriahan itu sama. Kalau dulu kita hanya tunggu rezeki pada hari raya sahaja,” katanya.

Minat yang mendalam terhadap seni jahitan menyebabkan Normadihah mampu menyiapkan pakaian bertemakan kemerdekaan seperti sepersalinan lengkap baju melayu kanak-kanak lelaki dalam tempoh hanya satu hari sahaja.

Beliau juga memanfaatkan aplikasi Whatsapp dan media sosial untuk mengambil ukuran badan pelanggan serta berbincang mengenai idea kreatif rekaan pakaian bertemakan kemerdekaan.

“Saya suka terima tempahan yang menarik dan unik. Ada pelanggan yang minta pakaian angkasawan, kita boleh siapkan. Ada juga yang minta gaun ala puteri. Semuanya terpulang kepada pelanggan,” katanya.

Normadihah berkata beliau memilih jenis kain yang berkualiti antaranya songket, chiffon dan satin berdasarkan warna Jalur Gemilang bagi menghasilkan pakaian tema merdeka yang menarik serta selesa.

Menurutnya, beliau merasa satu kepuasan apabila dapat membantu ibu bapa menyiapkan baju hari merdeka untuk anak-anak, tambahan pula jika mereka memperoleh kemenangan dalam acara yang dipertandingkan.

“Secara langsung, pakaian ini juga mendorong keyakinan diri anak-anak terutamanya ketika memperaga baju mereka. Kita mahu mereka seronok dan rasa bangga dengan identiti negara.

“Pernah juga terjadi, anak pelanggan saya menang tetapi anak saya sendiri pula tewas dalam acara pertandingan pakaian tema kemerdekaan di sekolah yang sama,” katanya tertawa kecil.

Butik D’ha Fesyen turut menyediakan kemudahan sewaan pakaian hari merdeka kanak-kanak bermula pada harga RM70, selain tempahan bermula RM150 bergantung pada rekaan.

Selain menerima tempahan menjahit langsir dan pakaian harian, baju tema merdeka yang dihasilkan Normadihah Md Nor, 43, antara pilihan pelanggan setiap tahun di kedainya di Selera Lindungan, Kampung Lindungan, Petaling Jaya, Selangor ketika ditemui pada 25 Ogos 2025. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619