ad

Selangor rintis dua inisiatif sekolah tangani buli, lindungi pelajar

29 Ogos 2025, 2:20 AM
Selangor rintis dua inisiatif sekolah tangani buli, lindungi pelajar
Selangor rintis dua inisiatif sekolah tangani buli, lindungi pelajar
Selangor rintis dua inisiatif sekolah tangani buli, lindungi pelajar

SHAH ALAM, 29 OGOS: Kerajaan Negeri akan melaksana dua inisiatif rintis bagi menangani isu buli di sekolah serta memperkukuh kesihatan mental pelajar susulan beberapa insiden buli serius yang menggemparkan negara.

EXCO Kesihatan Awam Jamaliah Jamaluddin berkata, pendekatan proaktif itu selari dengan komitmen pentadbiran untuk memastikan keselamatan serta kesejahteraan emosi pelajar tidak dikompromi sama sekali.

“Kerajaan Negeri memandang serius sebarang bentuk keganasan, buli dan gangguan terhadap pelajar, dan akan terus bekerjasama rapat dengan semua pihak berwajib bagi melindungi pelajar daripada ancaman fizikal serta mental,” katanya dalam kenyataan hari ini.

EXCO Kesihatan Awam Jamaliah Jamaluddin

Dua inisiatif yang diperkenalkan adalah Kumpulan Sokongan Rakan Sebaya dan Latihan Pemerkasaan Guru, yang akan dilaksanakan secara projek rintis di sekolah menengah berasrama dan sekolah yang mempunyai kadar insiden buli tinggi.

Melalui program itu, pelajar mangsa buli dapat mencari ruang selamat untuk berkongsi pengalaman dan menerima dorongan daripada rakan mereka. Inisiatif ini dibimbing guru kaunselor supaya lebih berkesan membantu mangsa mengatasi trauma.

Sementara itu, latihan pemerkasaan guru akan memberi tumpuan kepada pengetahuan menyeluruh berkenaan punca buli, budaya senioriti, ketakutan melapor dan penguasaan garis panduan sedia ada dalam pengurusan salah laku.

“Inisiatif ini bukan sahaja membantu membina keyakinan mangsa, tetapi juga mencegah insiden buli daripada terus berulang. Kejayaan projek rintis ini akan dikongsi bersama Kementerian Pendidikan Malaysia untuk pertimbangan pelaksanaan nasional,” jelasnya.

Sebelum ini, negara digemparkan dengan pelbagai kes buli termasuk kematian tragik Zara Qairina di Sabah dengan inkues kematiannya akan dijalankan pada 3 September lalu.

Di Selangor pula, proses gali semula kubur pelatih Palapes Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Syamsul Haris Samsudin sedang dijalankan di Semenyih bagi proses bedah siasat kedua.

Dua lagi kes yang masih dalam siasatan adalah kematian pelatih Palapes Universiti Teknologi Mara (UiTM) Muhamad Amir Rusyaidi dan pelajar tingkatan tiga yang terjatuh dari bangunan sekolah di Sabak Bernam.

Kerajaan Negeri turut memperkukuh modul Selangor Mental Sihat (SEHAT) dengan elemen baharu yang fokus kepada pendidikan emosi dan intervensi awal kesihatan mental bagi pelajar. Program ini turut meliputi Kaunselor Hab SEHAT, Talian SEHAT dan subsidi rawatan psikologi.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.