ad

Syarikat pelaburan sahkan pejabat di Bangsar South diserbu polis

29 Ogos 2025, 12:42 AM
Syarikat pelaburan sahkan pejabat di Bangsar South diserbu polis

SHAH ALAM, 29 OGOS: Syarikat perkhidmatan kewangan, Kumpulan Doo mengesahkan pejabatnya di Bangsar South, Kuala Lumpur diperiksa pihak polis, Rabu lalu.

Syarikat itu memaklumkan polis telah "melawat" premis mereka dan premis lain untuk tujuan pemeriksaan, lapor Fintechnews.my.

Menurutnya lagi, pihaknya akan bekerjasama dengan polis dan memberikan maklumat kepada pihak berkuasa apabila diperlukan.

Sebelum ini, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus mengesahkan operasi anti-scam berskala besar dijalankan di Bangsar South tanpa berkongsi butiran lanjut.

Difahamkan ratusan individu ditahan dalam serbuan di menara komersial terbabit yang dipercayai menjadi lokasi operasi pusat panggilan kumpulan tersebut.

Satu hantaran tular di Facebook Lemon Market Trends mendakwa bangunan berkenaan mempunyai kaitan dengan Doo Prime, sebuah syarikat fintech dalam talian.

Hantaran itu turut mendakwa syarikat tersebut tidak dilesenkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dan menerima aduan daripada pengguna yang gagal mengeluarkan wang.

Skim Pelaburan Doo Prime Malaysia Berhad disenaraikan dalam kemas kini Amaran Pengguna Kewangan BNM pada 2021.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.