ad

300 anak pokok bakau ditanam, PNSB sokong kelestarian alam

28 Ogos 2025, 12:18 PM
300 anak pokok bakau ditanam, PNSB sokong kelestarian alam
300 anak pokok bakau ditanam, PNSB sokong kelestarian alam

SABAK BERNAM, 28 OGOS: Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) menanam 300 anak pokok bakau di Pantai Bagan Nakhoda Omar di sini sempena ulang tahun ke-35 penubuhannya.

Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu dilaksanakan 23 Ogos lalu dengan kerjasama Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB), Jabatan Perhutanan Negeri Selangor, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Kuiscell Sdn Bhd, komuniti setempat serta sukarelawan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim berkata penanaman pokok bakau bukan sahaja berfungsi sebagai benteng semula jadi mengekang hakisan pantai, malah melambangkan iltizam syarikat terhadap kelestarian alam.

“Sempena ulang tahun, kami bukan sekadar memperbaharui wajah penjenamaan korporat, malah memperkukuh komitmen terhadap nilai tanggungjawab sosial.

“Inisiatif ini adalah lambang bahawa kelestarian alam, kesejahteraan komuniti, dan pembangunan ekonomi negeri mesti bergerak seiring,” katanya menerusi satu kenyataan.

Tambahnya, program berkenaan juga menyokong Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, khususnya SDG 13 (Tindakan Iklim) dan SDG 15 (Kehidupan di Darat) melalui usaha mitigasi perubahan iklim serta pemuliharaan ekosistem pantai.

Selain penanaman bakau, pelbagai aktiviti turut diadakan antaranya taklimat keselamatan, perkongsian ilmu mengenai ekosistem bakau serta interaksi bersama komuniti setempat bagi mengukuhkan hubungan syarikat, agensi negeri dan masyarakat.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.