ad

Muzik Cempuling bakal diwarta identiti warisan kelima Selangor

28 Ogos 2025, 6:20 AM
Muzik Cempuling bakal diwarta identiti warisan kelima Selangor
Muzik Cempuling bakal diwarta identiti warisan kelima Selangor
Muzik Cempuling bakal diwarta identiti warisan kelima Selangor
Muzik Cempuling bakal diwarta identiti warisan kelima Selangor
Muzik Cempuling bakal diwarta identiti warisan kelima Selangor

SHAH ALAM, 28 OGOS: Muzik cempuling yang sinonim dengan seni dan budaya negeri ini akan diwarta sebagai muzik tradisional sekali gus menjadi identiti warisan Selangor.

EXCO Kebudayaan Datuk Borhan Aman Shah berkata usaha mewarta sedang giat dilaksanakan termasuk melibatkan beberapa pihak antaranya pakar seni dan ahli akademik dari Universiti Pendidikan Sultan Idris serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Kita turut libatkan Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Selangor (PADAT) dan memanggil jabatan pendidikan negeri kerana mereka pernah anjurkan permainan muzik ini selama 25 jam pada 2016 dan ianya pecah rekod.

EXCO Perumahan dan Kebudayan Datuk Borhan Aman Shah bercakap kepada media selepas Program Anti Rasuah Key Communicator dan Wira Anti Rasuah di Masjid At Toyyibin Kampung Endah, Kuala Langat pada 8 Mei 2025. FOTO HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

“Ini menjadi asas untuk kita sebarkan muzik cempuling kepada generasi baharu dan anak muda. Jika diwarta, ia akan jadi identiti kelima selepas Nasi Ambeng, Batik Selangor, Punten dan terbaharu Sate Kajang,” katanya kepada Media Selangor.

Beliau berkata usaha memartabatkan seni itu sudah dijalankan sekian lama termasuk memberi peralatan muzik kepada pihak sekolah sebagai pendekatan menanam minat dalam golongan pelajar.

Jun tahun lalu, Selangor mempromosi seni cempuling ke Indonesia menerusi program Silang Budaya yang membuka peluang masyarakat negara itu mengenali seni dan muzik asli Selangor.

Bertempat di Malaysia Hall Jakarta, persembahan seni cempuling dan muzik asli Selangor dari Kumpulan Tunas Cempuling dan Muzik Asli Sri Kenchana menarik minat peserta dari Indonesia dan mahu mendalami kedua-dua seni budaya itu dengan lebih terperinci.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.