SHAH ALAM, 27 OGOS: Kerajaan Negeri akan terus menyalurkan sokongan moral dan kaunseling kepada keluarga pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin, 22.
EXCO Pembangunan Keluarga Anfaal Saari berkata langkah itu penting bagi memastikan emosi ahli keluarga arwah kekal stabil sepanjang proses penggalian semula kubur dan siasatan dijalankan.

“Sebelum ini kita sudah ziarahi keluarga bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat dan timbalan menteri (pembangunan wanita keluarga dan masyarakat) sebagai sokongan dari segi psikologi.
“Selepas jasad digali semula dan bedah siasat kedua dilakukan, kita akan beri lagi sokongan untuk memastikan mereka sekeluarga berada dalam keadaan baik,” katanya kepada Media Selangor.
Semalam, Mahkamah Tinggi Shah Alam memerintahkan kubur Allahyarham yang dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Ulu, Semenyih digali semula bagi membolehkan bedah siasat kedua dijalankan dalam tempoh 14 hari.
Pelajar jurusan Sains Komputer (Keselamatan Siber) itu meninggal dunia pada 28 Julai lalu di Hospital Kota Tinggi, Johor dipercayai ketika menjalani latihan di Lapang Sasar Inokulasi Tempur, Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA).
Pada 15 Ogos lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika menziarahi keluarga Allahyarham menzahirkan harapan agar siasatan menyeluruh dilakukan serta menegaskan Kerajaan Negeri sedia memberikan bantuan sepenuhnya bagi memastikan keadilan ditegakkan.
