ad

Pesona kebun komuniti Shah Alam

28 Ogos 2025, 2:00 AM
Pesona kebun komuniti Shah Alam
Pesona kebun komuniti Shah Alam
Pesona kebun komuniti Shah Alam
Pesona kebun komuniti Shah Alam
Pesona kebun komuniti Shah Alam
Pesona kebun komuniti Shah Alam

Di tengah hiruk-pikuk kehidupan moden yang serba sibuk dan individualistik, sebuah kebun hijau di Shah Alam menjadi bukti semangat kejiranan belum lenyap.

Kebun Komuniti Taman Tasik Teratai bukan sekadar tempat bercucuk tanam. Di sini, penduduk menanam harapan, menyemai persahabatan dan merasai nikmat kebersamaan.

Terletak di Seksyen 8, tanah terbiar seluas 3.6 hektar ini kini bertukar wajah menjadi taman subur penuh warna-warni hasil titik peluh masyarakat setempat.

Di bawah pimpinan Pengerusinya Dato’ Zainuddin Ahmad, kebun ini berkembang menjadi kebanggaan penduduk apabila dinobatkan sebagai juara Landskap Komuniti Kebangsaan 2020.

Tidak terhenti di situ, ia turut memenangi kategori eko-pelancongan dan tempat keempat keseluruhan dalam pertandingan mini Zee Bee anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Lebih istimewa, lokasinya terletak di atas bukit dan menghadap sebuah tasik yang tenang. Apabila senja menjelma, landskapnya bagaikan kanvas hidup, menyatukan kehijauan tanaman dengan bayangan air mendamaikan.

“Kebun kami antara perintis di Shah Alam. Sekarang, hampir setiap seksyen sudah ada kebun komuniti masing-masing,” katanya kepada Media Selangor.

Pengerusi Persatuan Kebun Komuniti Tasik Teratai Seksyen 8 Timur, Shah Alam Dato' Zainuddin Ahmad. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Batas subur

Dari batas kecil, menjalar subur hasil aneka tanaman. Sawi, kangkung, bayam, terung, kailan, peria, kacang panjang, petola hingga nanas, semuanya dijaga rapi. Seolah-olah setiap tanaman punya jiwa.

Di tepian tasik pula, deretan bunga berwarna-warni kembang mekar, seakan-akan menyambut tetamu dengan senyuman alam. Lebih bermakna, hasil tanaman ini dijual dengan harga berpatutan kepada penduduk sekitar.

“Pokok bunga pun kita jual murah, sampai orang luar pun sanggup datang beli,” kata Zainuddin.

Kejayaan ini bukan usaha bersendirian. Ia hadir dengan sokongan pelbagai pihak termasuk MBSA, Jabatan Pertanian, Lembaga Nanas Negara serta wakil rakyat setempat.

Bantuan baja, benih, peralatan dan kewangan menjadi penyuntik semangat kepada lebih 60 ahli persatuan yang berganding bahu mengusahakan kebun ini.

Konsep pengurusannya juga unik. Setiap ahli menguruskan batas sendiri tetapi ada juga yang memilih untuk berkongsi bagi memudahkan penjagaan. Hasil tuaian dijual setiap Sabtu, dengan 10 peratus disumbangkan kepada persatuan untuk penyelenggaraan kebun.

Bakinya menjadi milik pengusaha, memberi mereka rasa kepunyaan dan bangga terhadap hasil kerja sendiri.

Bukan sekadar kebun

Namun, nilai kebun ini melebihi hasil tuaian. Ia medan persaudaraan. Di sinilah penduduk bergotong-royong, berkongsi benih, bertukar ilmu dan bergelak tawa hingga terjalin ikatan yang menyatukan mereka.

Ia juga menjadi pentas pelbagai acara, dari mesyuarat persatuan, aktiviti seni hinggalah latihan koir sempena sambutan Hari Kebangsaan. Warga emas mahupun anak muda, semuanya ada peranan dan ruang untuk menyumbang.

Kini, kebun komuniti ini berdiri megah sebagai bukti bahawa tanah terbiar boleh menjadi ladang rezeki dan berupaya menyuburkan kembali semangat kejiranan.

Seperti suburnya tanaman yang menghijau di batas mereka, begitulah juga utuhnya persaudaraan yang kembali hidup di hati warga Shah Alam.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.