SUBANG JAYA, 26 OGOS: Liga Usahawan Orang Kurang Upaya (OKU) Selangor Youth Community (SAY LEAD) merupakan platform terbaik untuk membantu usahawan rentan memperkasa perniagaan.
EXCO Keusahawanan Najwan Halimi berkata golongan berkenaan tidak wajar disisihkan kerana mereka juga merupakan penyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Selangor dan Malaysia.
“SAY LEAD merupakan acara mengiktiraf golongan usahawan OKU, peserta kini sudah mempunyai akses, ruang dan peluang untuk perkasa perniagaan selain kita juga mahu mengangkat produk mereka sehingga peringkat global.

“Insya-Allah, kita akan meneruskan program bimbingan seperti ini dengan pendekatan berbeza seperti luaskan skop dan segmentasi OKU,” katanya ditemui selepas Acara Pusingan Akhir SAY LEAD di Sunway Resort Hotel di sini hari ini.
Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan mencemar duli hadir.
Dalam pada itu, Najwan turut merakamkan tahniah kepada pemenang dan yang tidak berjaya dinasihat tidak berputus asa, teruskan usaha melebarkan sayap perniagaan ke peringkat lebih tinggi.
“Saya berharap anda semua terus cekal, bersemangat dan tidak berhenti berusaha dalam mengembangkan potensi perniagaan masing-masing.
“Jadikan pencapaian ini sebagai satu permulaan untuk melangkah lebih jauh, buktikan bahawa cabaran bukanlah penghalang, tetapi satu peluang untuk tampil lebih kuat dan berdaya saing. Teruskan melangkah dengan keyakinan, kerana anda adalah inspirasi kepada masyarakat,” katanya.
Terdahulu, Tengku Amir menobatkan tiga Ikon Usahawan OKU Selangor, juara menjadi milik usahawan menghasilkan pemanis mulut iaitu Nur Sabrina (OKU pendengaran) sementara naib juara Norhaiza (usahawan kraftangan/ OKU pendengaran) dan tempat ketiga Azura Othman (usahawan sambal/OKU fizikal).