SHAH ALAM, 26 OGOS: Kementerian Pendidikan (KPM) mengarahkan pasukan kaunselor ke sebuah sekolah asrama di Sabak Bernam, susulan insiden kemalangan membabitkan pelajar tingkatan tiga.
Ketua Pengarah Pendidikan Dr Mohd Azam Ahmad berkata tindakan itu bertujuan memberi sokongan sosial kepada warga sekolah, khususnya pelajar yang mengalami trauma atau tekanan.
“Saya telah arahkan supaya kita menghantar pasukan kaunselor untuk beri sokongan moral dan psikosial kepada warga sekolah.
“Saya juga minta pihak sekolah mengadakan bacaan Yassin dan solat hajat untuk mendoakan kesembuhan dan keselamatan pelajar berkenaan,” katanya pada sidang media khas, hari ini.
Bagi penyelesaian jangka panjang, KPM menubuhkan jawatankuasa khas untuk menyemak aspek keselamatan sekolah termasuk di asrama, yang dianggotai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta persatuan ibu bapa dan guru.
Tambah Dr Mohd Azam, kementerian juga semakan prosedur pengendalian kes buli dan seksual yang diketuai pengarah bahagian pengurusan sekolah harian.
“Semua pengurusan tertinggi turut diarah membuat lawatan mengejut pada waktu siang atau malam di sekolah dan asrama untuk kita sendiri pantau situasi.
“Saya juga telah arahkan Ketua Jemaah Nazir supaya menggerakkan nazir di seluruh negara untuk membuat audit keselamatan yang perlu dilaporkan setiap minggu kepada saya, dan akan dibentangkan kepada menteri untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Terdahulu, polis mengesahkan menerima laporan berhubung insiden seorang pelajar lelaki tingkatan tiga yang dilaporkan terjatuh dari tingkat tiga asrama sebuah sekolah di Sabak Bernam.
Ketua Polis Selangor Dato’ Pahlawan Shazeli Dato’ Kahar berkata sejurus laporan diterima, pihaknya telah membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan seorang pelajar tingkatan tiga kini berada dalam keadaan kritikal selepas dipercayai menjadi mangsa buli di asrama.