ad

Tiga usahawan OKU dinobat ikon Selangor, terima geran sehingga RM5,000

26 Ogos 2025, 10:35 AM
Tiga usahawan OKU dinobat ikon Selangor, terima geran sehingga RM5,000
Tiga usahawan OKU dinobat ikon Selangor, terima geran sehingga RM5,000
Tiga usahawan OKU dinobat ikon Selangor, terima geran sehingga RM5,000

SHAH ALAM, 26 OGOS: Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan menobatkan tiga usahawan orang kurang upaya (OKU) sebagai Ikon Usahawan OKU Selangor.

Berlangsung di Sunway Resort Hotel, tiga peserta itu dinobatkan pada pusingan akhir Liga Usahawan OKU Selangor (SAY LEAD) edisi keenam hari ini mengatasi tujuh peserta lain yang diadili Tengku Amir bersama empat juri lagi.

Juara menjadi milik usahawan pemanis mulut iaitu Nur Sabrina yang mengalami OKU pendengaran sementara naib juara Norhaiza (usahawan kraftangan/ OKU pendengaran) dan tempat ketiga Azura Othman (usahawan sambal ‘ready to eat’ / OKU fizikal).

Kesemua mereka menerima piala dan sijil pengiktirafan daripada Selangor Youth Community (SAY) serta geran perniagaan berjumlah RM5,000 (juara), RM4,000 (naib juara) dan RM3,000 (tempat ketiga).

Pemenang juga menerima bimbingan kewangan daripada Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) selain diberi sistem POS tajaan sepenuhnya Yayasan MBI dan portal percuma oleh App Engage.

Selain itu, mereka layak menyertai program bimbingan SAY LEAD+ selama setahun bagi membantu mengembangkan perniagaan melalui akses pasaran baharu, pendigitalan perniagaan, pasaran eksport dan reruai percuma.

Sementara itu, Tengku Amir turut berkenan menobatkan dua usahawan harapan iaitu kepada Nur Nuha Mohd Fazil (OKU pembelajaran) dan Aiman Aznur (OKU autisme).

Nur Nuha mengusahakan perniagaan makanan Jepun di bawah syarikat Dhuha Tensai Resources manakala Aiman menghasilkan produk kraftangan di bawah syarikat Aimalis Heritage.

Program SAY LEAD edisi keenam yang berlangsung sejak Mei lalu disertai 30 peserta yang menjalani kursus profil keusahawanan, model perniagaan kanvas serta rancangan perniagaan.

Kursus lain adalah penjenamaan dan pendigitalan pemasaran, pengurusan kewangan, sesi perkongsian bersama agensi berkaitan, bengkel dan pembentangan perniagaan.

Pusingan akhir Liga Usahawan OKU Selangor turut diadili empat juri lain iaitu EXCO Pembangunan Belia Mohd Najwan Halimi; Ketua Pejabat Wilayah Tengah PUNB Damaiyanti Mohd Nawi; Pengarah Projek PLATS Siti Nur Hazwani Md Sabudin dan Eksekutif Kanan Jabatan Latihan Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) Aisyah Abdul Rahman.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.