Buat kandungan video lucah, pembantu kedai didenda RM14,000

25 Ogos 2025, 8:49 AM
Buat kandungan video lucah, pembantu kedai didenda RM14,000

SEPANG, 25 OGOS: Seorang pembantu kedai pakaian didenda RM14,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan membuat dan memulakan penghantaran komunikasi iaitu video yang bersifat lucah menerusi akaun Twitter miliknya, tiga tahun lepas.

Hakim Ahmad Fuad Othman menjatuhkan hukuman denda RM7,000 bagi setiap pertuduhan terhadap Siti Amiza Baharuddin, 28, selepas dia mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mahkamah turut memerintahkan wanita itu dipenjara enam bulan bagi setiap pertuduhan, jika gagal membayar denda.

Sebelum menjatuhkan hukuman hakim menasihati Siti Amiza agar insaf dengan perbuatannya dan menjadikan ia sebagai pengajaran.

"Orang Kena Saman melakukan komunikasi untuk tujuan komersial namun cara kamu buat sifatnya tidak kena dengan kesopanan masyarakat kita.

"Jadi undang-undang dirangka sebegitu rupa untuk memelihara moral masyarakat kita dan supaya jangan ada komunikasi seperti ini," katanya.

Terdahulu, peguam Ahmad Hafiz A. Bakar yang mewakili tertuduh merayu agar dikenakan hukuman berbentuk denda yang minimum dengan alasan pengakuan bersalah oleh tertuduh wajar diberi pertimbangan, serta pertuduhan yang dihadapinya telah mendatangkan kesan kepada kesihatan fizikal dan mental tertuduh.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Fadhli Ab Wahab memohon hukuman berbentuk pengajaran dengan mengambil kira faktor kepentingan awam.

Mengikut kedua-dua pertuduhan pindaan, Siti Amiza didakwa menggunakan perkhidmatan aplikasi Twitter telah secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi iaitu video yang lucah sifatnya dengan niat untuk mengganggu orang lain.

Hantaran tersebut dilakukan pada 10.13 malam, 18 Dis 2022 dan 7.47 malam, 13 Sept 2022.

Kedua-dua hantaran itu telah dilihat oleh MCMC pada 10.08 pagi dan 4.34 petang, 19 Mei 2023 di Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Tower 1, Jalan Impact, Cyber 6, 63000 Cyberjaya, Sepang, Selangor.

Pertuduhan mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (3), iaitu denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Ahmad Fuad turut memerintahkan agar barang kes iaitu komputer riba dan telefon bimbit diserahkan kepada pihak pendakwaan untuk proses selanjutnya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619