SHAH ALAM, 25 OGOS: Lebih 250 peserta hadir pada program diskusi ‘Pendedahan New Age Movement (NAM) Dalam Motivasi Islam’ anjuran Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) di Hotel De Palma di sini, hari ini.
Timbalan Pengarah (Operasi) Jais Siti Razmah Idris berkata program itu bertujuan mendidik, menyedarkan dan membina benteng pemikiran masyarakat supaya lebih berwaspada serta tidak mudah terpengaruh dengan ajaran bertentangan dengan akidah Islam.
“Diskusi memberi kefahaman menyeluruh tentang konsep, ideologi dan ciri-ciri utama (NAM) serta pendedahannya dalam program motivasi berlabelkan Islamik.
“Selain itu, ia membekalkan kemahiran kepada pendakwah, tenaga pengajar dan masyarakat untuk mengenal pasti serta menapis unsur yang bercanggah dengan Islam dalam program motivasi,” katanya ketika berucap.
Diskusi melibatkan pembentangan oleh tiga panel iaitu Penceramah Bertauliah Negeri Selangor Mohamad Razif Mohamad Fuad; Pengarah Pusat Islam Masjid UKM Dr Wan Haslan Khairuddin dan Pegawai Psikologi Penjara Kajang Mohd Noor Ikhram Husin.
Siti Razmah menambah penularan fahaman NAM kini mula menular dalam masyarakat melalui platform motivasi, pembangunan diri, rawatan alternatif dan pembangunan spiritual.
“Gerakan ini begitu mudah menyerap dalam kursus pembangunan kendiri, seminar healing, dan latihan minda yang kelihatan seolah-olah neutral, tetapi sebenarnya membawa ajaran yang terpesong daripada pegangan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.
“Lebih membimbangkan apabila ia mula meresap dalam program motivasi yang disasarkan kepada pelajar, belia, malah golongan dewasa terdiri daripada kakitangan kerajaan dan swasta,” ujarnya.