PM hadiri himpunan selawat untuk Gaza di Dataran Merdeka

24 Ogos 2025, 1:40 PM
PM hadiri himpunan selawat untuk Gaza di Dataran Merdeka

KUALA LUMPUR, 24 OGOS: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada Malam Himpunan dan Selawat Malaysiaku Bersama Gaza di Dataran Merdeka yang menandakan acara kemuncak Karnival Sumud Nusantara 2025.

Anwar, yang tiba di sini pada 9.06 malam, diiringi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar dan Ketua Pengarah Sumud Nusantara merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cinta Gaza Malaysia Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman.

Turut hadir Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Fahmi, Mohd Na’im dan Dr Zaliha juga adalah penaung Karnival Sumud Nusantara 2025 yang berlangsung selama tiga hari mulai Jumaat lepas.

Antara tumpuan malam ini pastinya syarahan khas solidariti bertajuk 'Malaysiaku Bersama Gaza' oleh Perdana Menteri yang kemudian akan melepaskan delegasi Konvoi Sumud Nusantara untuk misi flotilla kemanusiaan ke Gaza.

Konvoi Sumud Nusantara 2025 menghimpunkan delegasi dari Malaysia, Indonesia, Pakistan, Bangladesh, Sri Lanka, Maldives, Filipina dan Thailand.

Selain itu, CEO Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby akan membacakan Deklarasi Sumud Nusantara.

Program malam ini turut diisi dengan solat hajat untuk pembebasan Gaza, tausiah peduli ummah oleh tokoh pendakwah ternama serta bacaan Qunut Nazilah dan selawat yang disampaikan oleh kumpulan qasidah Majelis AzZahir pimpinan Habib Ali Zainal Abidin Assegaf.

Karnival Sumud Nusantara 2025 dianjurkan bersama oleh MAPIM dan Cinta Gaza Malaysia serta dinaungi Perdana Menteri, yang juga Penaung Sumud Nusantara.

Orang ramai mula hadir ke Dataran Merdeka dari awal pagi untuk sama-sama memeriahkan karnival itu yang diisi dengan pelbagai program menarik.

Mereka turut memakai pakaian putih sebagai simbol sokongan kepada perjuangan rakyat Palestin.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619