Wanita ada dua kad pengenalan dalang seludup dadah

24 Ogos 2025, 8:51 AM
Wanita ada dua kad pengenalan dalang seludup dadah

KOTA BHARU, 24 OGOS: Polis Kelantan sedang mengesan seorang wanita dipercayai memilik dua kad pengenalan Malaysia dan Thailand, susulan kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire miliknya disita dalam operasi di Sungai Golok, minggu lepas.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata siasatan awal mendapati wanita berusia 30-an itu dipercayai mempunyai kaitan dengan rangkaian penyeludupan dadah di sempadan serta dikatakan berkahwin dengan seorang lelaki warga Thailand.

“Kes seumpama ini sering melibatkan individu mempunyai dua identiti. Hasil semakan nombor kenderaan di Malaysia dan maklumat daripada pihak berkuasa Thailand mengesahkan suspek memiliki kad pengenalan sah di kedua-dua negara.

“Agak sukar untuk mengesan suspek kerana dia mempunyai dua kad pengenalan. Jika ditahan di Thailand, suspek boleh menggunakan kad pengenalan Thailand manakala jika ditahan di Malaysia, suspek boleh menggunakan kad pengenalan Malaysia, sekali gus menyukarkan penentuan status kewarganegaraannya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulanan di pekarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan, di sini hari ini.

“Polis sedang memburunya. Kes tangkapan dadah berlaku di Golok, Thailand dan wanita terbabit disyaki ahli sindiket penyeludupan dadah,” katanya.

Mohd Yusoff berkata polis juga akan bekerjasama dengan Jabatan Pendaftaran Negara dalam kes berkenaan.

Beliau berkata wanita berkenaan akan dimasukkan dalam senarai dikehendaki polis dan usaha mengesannya dijalankan bersama pihak berkuasa Thailand.

Terdahulu, media melaporkan sebuah Toyota Vellfire bernombor plat pendaftaran Malaysia antara 13 aset yang disita dalam operasi besar-besaran menumpaskan sindiket penyeludupan dadah di sempadan minggu lepas.

Sementara itu, sebanyak 153 pangkalan haram di tanah kerajaan negeri telah dikenal pasti Pejabat Tanah dan Galian Kelantan untuk dirobohkan.

Beliau berkata operasi perobohan akan dijalankan bersama pihak berkuasa tempatan selepas notis peringatan dikeluarkan kepada pengguna dalam tempoh sebulan.

“Jika terbukti berlaku vandalisme atau pencerobohan, tindakan undang-undang akan diambil. Polis tidak mahu sebarang provokasi berlaku, sama ada oleh penduduk tempatan mahupun sindiket penyeludupan,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619