ad

Pendaki Everest pertama Malaysia seru jaga kebersihan kawasan pendakian

24 Ogos 2025, 1:06 AM
Pendaki Everest pertama Malaysia seru jaga kebersihan kawasan pendakian
Pendaki Everest pertama Malaysia seru jaga kebersihan kawasan pendakian
Pendaki Everest pertama Malaysia seru jaga kebersihan kawasan pendakian

PETALING JAYA, 24 OGOS: Pendaki Gunung Everest pertama Malaysia menyeru pendaki terutama generasi kini dapat menjaga kebersihan kawasan pendakian mereka.

Datuk M Magendran berkata perbuatan itu sekali gus dapat menjaga persekitaran kawasan daripada pencemaran selain kekal terjaga untuk generasi akan datang.

"Saya percaya aktiviti luar seperti mendaki ini sudah menjadi gaya hidup rakyat Malaysia buat masa ini berbanding pada zaman saya dahulu ia dilihat agak ganjil dan masyarakat beranggapan ia tidak memberi manfaat.

Pendaki Gunung Everest pertama Malaysia Datuk M Magendran bercakap ketika sidang media selepas majlis Ramah Mesra Komuniti Pendaki dan majlis Apresiasi Ekspedisi Trans Titiwangsa V6 di Bukit Gasing, Petaling Jaya pada 23 Ogos 2025. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

"Tetapi selepas kejayaan Malaysia 1997, kita dapat lihat tertubuhnya banyak persatuan mendaki sehingga sekarang aktiviti ini sudah tidak perlu dipromosi lagi," katanya.

Beliau ditemui ketika Majlis Ramah Mesra Komuniti Pendaki dan Majlis Apresiasi Ekspedisi Trans Titiwangsa V6 di kediaman tokoh wartawan negara yang juga pendaki Tan Sri Johan Jaafar di sini semalam.

Bagaimanapun, Magendran bercadang kempen perlu diadakan untuk memberi kesedaran terutama kepada pendaki muda agar dapat menjaga kawasan pendakian tanpa sebarang isu pencemaran.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Perhutanan (Pembangunan) Jabatan Perhutanan Pahang Mohd Yussainy Md Yusop berkata di Malaysia terdapat 240 trek pendakian berdaftar di bawah Jabatan Perhutanan.

"Jabatan Perhutanan mengawal kapasiti pendaki supaya tidak membebankan denai, iaitu bagi kawasan tanah tinggi 2,000 meter ke atas kita hanya benarkan 60 orang sehari berbanding kapasiti rendah 120 orang sehari.

Timbalan Pengarah Perhutanan (Pembangunan) Jabatan Perhutanan Negeri Pahang Mohd Yussainy Md Yusop bercakap kepada media selepas majlis Ramah Mesra Komuniti Pendaki dan majlis Apresiasi Ekspedisi Trans Titiwangsa V6 di Bukit Gasing, Petaling Jaya pada 23 Ogos 2025. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

"Ini langkah yang dibuat oleh Jabatan Perhutanan untuk memastikan kawasan pendakian ini dapat dikawal supaya flora fauna dapat dinikmati generasi akan datang," katanya yang juga Pengerusi Persatuan Malim Gunung.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.