Operasi stesen Masjid Jamek, Pasar Seni dilanjut hingga 1 pagi

22 Ogos 2025, 1:44 PM
Operasi stesen Masjid Jamek, Pasar Seni dilanjut hingga 1 pagi

KUALA LUMPUR, 22 OGOS: Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) melanjutkan waktu operasi stesen Masjid Jamek dan Pasar Seni hingga 1 pagi pada esok dan Ahad bersempena program Malam Himpunan dan Selawat Malaysiaku Bersama Gaza di Dataran Merdeka di sini.

Rapid Rail dalam kenyataan hari ini memaklumkan kakitangan tambahan akan ditempatkan di lokasi strategik bagi membantu pergerakan penumpang dan memastikan kelancaran aliran trafik di stesen berkenaan.

“Penumpang digalakkan menggunakan kad Touch ‘n Go bagi perjalanan lebih lancar dan mengelakkan kesesakan.

"Bagi yang menggunakan token, disaran membeli token pergi dan balik lebih awal sebelum meninggalkan stesen,” menurut kenyataan itu.

Rapid Rail turut memaklumkan stesen lain akan ditutup seperti biasa namun penumpang masih boleh keluar di semua stesen.

Penumpang disaran mengikuti media sosial Rapid KL dan memuat turun aplikasi PULSE Rapid KL bagi merancang perjalanan dengan lebih mudah.

Malam Himpunan dan Selawat Malaysiaku Bersama Gaza yang berlangsung pada 24 Ogos ini dijangka menghimpunkan lebih 100,000 peserta dari seluruh negara dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual menyampaikan syarahan perdana dan ucapan perasmian.

Antara pengisian acara itu ialah solat hajat perdana, bacaan Qunut Nazilah, persembahan khas qasidah serta gimik perasmian pelepasan delegasi Sumud Nusantara untuk Flotilla Gaza.

Acara itu kemuncak Karnival Sumud Nusantara 2025 yang bermula hari ini hingga Ahad dengan antara tarikan utamanya ialah Terowong Masa VR Gaza iaitu sebuah inovasi kemanusiaan oleh MAPIM, pertunjukan belon panas, Festival Makanan Havoc, pameran pelbagai agensi, pelancaran Ensiklopedia Himpunan Projek Malaysia di Gaza (Gaza 101), Kids World Hall dan tayangan filem yang berkisarkan perjuangan Gaza.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619