Saksi dengar letupan dua kali, bunyi kuat seakan peluru berpandu

21 Ogos 2025, 11:55 PM
Saksi dengar letupan dua kali, bunyi kuat seakan peluru berpandu

KUANTAN, 22 OGOS: Bunyi letupan kuat seperti peluru berpandu jelas kedengaran dari sekitar kawasan Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah (Pangkalan Udara Kuantan), kata saksi insiden kemalangan pesawat tempur F/A-18D Hornet milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), malam tadi.

Mazlan Abdullah, 61, yang ketika itu berada di kedai makan berhadapan Pangkalan Udara itu berkata dia mendengar letupan dua kali dan turut melihat cahaya api dari kawasan berkenaan.

“Selepas bunyi letupan, saya lihat api dalam kawasan lapangan terbang dan asap berkepul-kepul. Orang ramai yang berada di kawasan berdekatan juga cuba pergi melihat apa yang berlaku.

“Ketika saya melihat ke lapangan terbang, api sedang marak, tetapi selepas letupan kedua, api lebih marak dan ada juga bau hangit,” kata pekerja kontrak berkenaan kepada pemberita di sini.

Jurutera elektrikal Khairul Azli Syahmie Abdul Aziz, 26, pula berkata dia turut mendengar bunyi letupan dari rumahnya yang terletak kira-kira 500 meter dari tempat kejadian, namun tidak mengendahkannya kerana menyangkakan pasukan TUDM sedang menjalani latihan.

“Bila saya tengok dalam media sosial ada jet pejuang jatuh, tetapi saya tak pergi tengok (di luar) sebab saya dan isteri ingat itu adalah latihan tentera. Kadang-kadang askar ada buat latihan dekat sini sebab itu kami dah biasa dengar,” katanya.

Selain itu, Khairul Azli Syahmie berkata jiran di kawasan kediamannya di Pandan Perdana turut keluar dari rumah sejurus bunyi letupan berkenaan untuk melihat apa yang berlaku.

Terdahulu, sebuah pesawat tempur F/A-18D Hornet milik TUDM terlibat dalam insiden kemalangan di kawasan landasan Lapangan Terbang Sultan Haji Ahmad Shah (Pangkalan Udara Kuantan) pada 9.05 malam tadi.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman yang mengesahkan insiden berkenaan berkata seorang juruterbang dan pembantu juruterbang TUDM dilaporkan selamat.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619