SUBANG JAYA, 21 OGOS: Selangor Youth Community (SAY) di bawah naungan DYTM Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah hari ini meraikan belia inspirasi serta rakan strategik.
Majlis Hari Anugerah Pasukan 2025, dianjurkan bersama King’s Trust International (KTI), memberi pengiktirafan kepada lima penerima anugerah atas sumbangan mereka dalam membina masa depan belia melalui pembangunan peribadi, kerjaya dan komuniti.
Tengku Amir Shah berkenan menyampaikan Anugerah Kelestarian Serantau Asia 2024 kepada Nurul Naqibah Mohd Kamal, 30, alumni Program Pasukan Malaysia Kohort 16 atas dedikasi beliau memperjuangkan pendidikan dan pembangunan komuniti Orang Asli.

Naqibah yang juga eksekutif sumber manusia berkata pengalamannya bersama masyarakat pedalaman mendorong beliau memastikan anak-anak Orang Asli menikmati peluang pendidikan sama rata seperti di bandar.
“Saya mahu mereka memperoleh akses pendidikan setara. Walaupun perjalanan ke penempatan mengambil masa dua hingga tiga jam, saya tetap komited untuk membantu,” katanya kepada Media Selangor.
Selain Naqibah, penerima lain ialah:
Sunway Group – Rakan Korporat Paling Prihatin
Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) – Agensi Kerajaan Paling Prihatin
Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) – Rakan PBT Paling Prihatin
Syafie Husnul Yakin – Anugerah Ketabahan

Sementara itu, Syafie, 22, yang pernah menjalani rawatan pemulihan di pusat AADK Sungai Besi berkata Program Pasukan menjadi titik perubahan hidupnya sehingga mampu membuka perniagaan gunting rambut sendiri.
“Pada awalnya saya tidak sangka akan menyertai program ini, tetapi latihan membina keyakinan dan semangat berpasukan benar-benar membantu saya bangkit semula,” katanya.
Turut berangkat, Yang Amat Mulia Tengku Datin Paduka Setia Zatashah yang menyampaikan anugerah kepada Syafie. Hadir sama EXCO Belia Mohd Najwan Halimi turut hadir.

Program Pasukan Malaysia merupakan inisiatif sembilan minggu yang melatih belia dalam komunikasi, kepimpinan, keyakinan diri dan kerjasama komuniti, sekali gus membuka jalan ke arah pendidikan, pekerjaan serta keusahawanan.
Hari Anugerah Pasukan 2025 membuktikan komitmen kolektif agensi kerajaan, korporat dan masyarakat sivil dalam melahirkan generasi belia Selangor dan Malaysia yang inklusif, berdaya tahan serta berdaya saing.