ad

Tembikar tradisional: Keindahan warisan yang kian terpinggir

21 Ogos 2025, 10:07 AM
Tembikar tradisional: Keindahan warisan yang kian terpinggir
Tembikar tradisional: Keindahan warisan yang kian terpinggir
Tembikar tradisional: Keindahan warisan yang kian terpinggir
Tembikar tradisional: Keindahan warisan yang kian terpinggir

Tembikar merupakan satu keperluan penting dalam kehidupan seharian masyarakat India. Bekas-bekas ini bukan sahaja digunakan untuk memasak, malah turut memainkan peranan penting dalam upacara dan perayaan keagamaan.

Namun begitu, pembangunan moden masa kini serta kemunculan bahan gantian seperti plastik, keluli dan kaca telah menjadi cabaran besar kepada industri tembikar tradisional ini.

Di negara ini, hanya segelintir sahaja yang masih meneruskan industri ini secara tradisi. Antara mereka ialah V. Ramadas (73), yang mengusahakan tembikar di Kuala Selangor di bawah nama “Velavar Pottery”.

Beliau masih mengekalkan warisan keluarganya dengan menghasilkan tembikar yang indah melalui kaedah buatan tangan. Dengan hasil seni kreatifnya, Ramadas pernah diiktiraf sebagai Adiguru Kraf Seramik Tradisional India pada tahun 2012 kerana pencapaian dan kepakaran beliau dalam bidang tembikar.

Ramadas Vengidasalam teliti menyusun hasil kerja tangan berupa pasu tanah liat di bengkel tradisionalnya Velavar Pottery di Kuala Selangor pada 15 Ogos 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

“Seni tembikar ini dibawa oleh bapa saya sejak 1930-an dari Chennai, India. Pada tahun 1978 saya mengambil alih dan meneruskan warisan orang tua, dan kini perusahaan ini diturunkan kepada anak,” kata beliau.

“Selain menghasilkan periuk untuk perayaan seperti Ponggal serta peralatan keagamaan berasaskan tanah liat yang lain, kami turut menghasilkan barangan seperti labu sayong, periuk nasi tradisional, buyung air dan banyak lagi. Barangan ini turut menarik pembeli dalam kalangan orang Melayu dan Cina.”

“Bahan mentah yang diperlukan untuk penghasilan tembikar ini hanyalah tanah, pasir dan air. Sebelum ini saya mendapatkan bekalan tanah liat di kawasan Kuala Selangor. Tanah di kawasan ini amat sesuai untuk menghasilkan tembikar. Sebab itu ramai pengusaha tembikar memilih Kuala Selangor sebagai hub industri tembikar. Pembangunan pesat di kawasan ini menyukarkan mendapatkan bekalan bahan mentah. Kini kami memperolehi bekalan dari Bukit Tagar du Hulu Selangor,” ujar beliau.

"Pada tahun 2000, ketika itu Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Dato’ G. Palanivel telah mengambil inisiatif untuk memberi nafas baharu kepada industri pembuatan tembikar. Hasil usahanya, latihan telah diberikan kepada para pengusaha dalam bidang ini, dan mereka turut menerima sijil pengiktirafan".

Hasil seni tembikar yang unik, simbol ketekunan dan warisan turun-temurun di Velavar Pottery di Kuala Selangor pada 18 Ogos 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

"Pihak Kraftangan Malaysia turut melawat tempat kami bagi meninjau proses pembuatan tembikar. Mereka membelanjakan hampir RM100,000 untuk membina bengkel serta memberikan bantuan dapur gas, tambah beliau.

Ketika ini sudah ramai pelancong yang berminat datang ke sini. Hal ini menjadikan Kuala Selangor sebagai tempat tarikan pelancong untuk melihat dan merasai pengalaman membuat periuk tanah liat secara tradisi oleh masyarakat India,” tambah beliau.

“Kraftangan Malaysia, terutama Kraf Selangor, mempromosikan bakat saya sehingga saya pernah diterbangkan ke London untuk membuat demonstrasi kemahiran di luar negara,” katanya.

“Produk yang diperbuat daripada tanah ini lebih bersih dan selamat digunakan. Malah, ketika pihak SIRIM mengujinya, memang terbukti tembikar saya bebas daripada kandungan kimia. Sebab itu masih ramai pelanggan yang memilih periuk jenis ini untuk masakan tradisional,” jelasnya.

Ramadas kesal kerana kebelakangan ini produk tembikar kurang mendapat sambutan daripada masyarakat. “Sebelum tahun 90-an kami menghasilkan lebih 50,000 periuk semasa perayaan Ponggal. Kini hanya menghasilkan lebih kurang 1,000 periuk untuk dipasarkan kerana lambakan produk asing.” katanya

“Golongan muda tidak cenderung dalam industri pembuatan tembikar. Mereka menganggap kerja ini kotor dan tidak mempunyai masa depan. Hal ini menjadikan masa depan industri ini tidak menentu,” tambah beliau.

Beliau berhasrat untuk membuka sebuah muzium yang mempamerkan barangan tembikar warisan India supaya generasi akan datang mengetahui kekayaan kesenian tradisional masyarakat.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.