PM: Malaysia pertimbang tubuh Kementerian Undang-Undang, perkukuh sistem perundangan

21 Ogos 2025, 4:15 AM
PM: Malaysia pertimbang tubuh Kementerian Undang-Undang, perkukuh sistem perundangan
PM: Malaysia pertimbang tubuh Kementerian Undang-Undang, perkukuh sistem perundangan
PM: Malaysia pertimbang tubuh Kementerian Undang-Undang, perkukuh sistem perundangan

KUALA LUMPUR, 21 OGOS: Kerajaan sedang menimbang untuk menubuhkan Kementerian Undang-Undang khusus bagi memastikan ekosistem perundangan negara lebih tersusun dan bersepadu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

Beliau berkata langkah itu juga akan membolehkan Malaysia berinteraksi dengan lebih bermakna bersama rakan serantau dalam usaha memajukan kedaulatan undang-undang, khususnya dengan negara anggota Asean.

“Dengan menyelaraskan diri kepada amalan terbaik jiran kita, Malaysia akan berada pada kedudukan lebih kukuh untuk membentuk sebuah tertib serantau yang lebih adil dan responsif,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Forum Undang-Undang Asean 2025 di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said, Timbalannya M Kulasegaran serta Setiausaha Agung Asean Dr Kao Kim Hourn.

Anwar berkata Keterangkuman dan Kemampanan telah dipilih sebagai tema utama Pengerusi Asean 2025 oleh Malaysia, dengan menegaskan bahawa keterangkuman bermaksud undang-undang mesti memberi manfaat kepada setiap individu, setiap komuniti dan setiap generasi.

“Tidak memadai keadilan hanya wujud dalam prinsip. Ia mesti dapat dirasai dalam kehidupan masyarakat kita. Undang-undang harus memperkasa dan melindungi, bukan menakut-nakutkan atau mengecualikan,” katanya.

Anwar turut menekankan kepentingan kemampanan dalam membina sistem serta institusi undang-undang yang mampu bertahan serta relevan sepanjang zaman.

“Kekuatan sebenar sesebuah kerajaan tidak terletak pada sejauh mana kuasa yang dimiliki, tetapi pada integriti institusinya, keadilan dalam tadbir urus, serta keyakinan yang diperoleh daripada rakyat,” katanya.

Menyentuh mengenai Wawasan Asean 2045, Anwar menegaskan bahawa kedaulatan undang-undang mesti menjadi asas kepada perjalanan tersebut, sambil menekankan bahawa Asean berteraskan peraturan adalah tunjang kepercayaan, kestabilan dan kemakmuran bersama.

Anwar turut menyatakan bahawa perpaduan Asean tidak semestinya menuntut keseragaman, kerana kepelbagaian tradisi undang-undang, nilai budaya dan pengalaman sejarah di rantau ini boleh menjadi sumber pengayaan, bukannya perpecahan, dalam kalangan negara anggotanya.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619