Hakim digelar 'paling baik di dunia' meninggal dunia akibat kanser

21 Ogos 2025, 1:22 AM
Hakim digelar 'paling baik di dunia' meninggal dunia akibat kanser

WASHINGTON, 21 OGOS: Frank Caprio, hakim Amerika Syarikat (AS) yang dikenali sebagai hakim 'paling baik di dunia' kerana kerjayanya yang penuh dengan sifat belas kasihan, meninggal dunia akibat kanser pankreas, lapor Anadolu Ajansi semalam.

Menurut satu hantaran di akaun Instagramnya, hakim mahkamah perbandaran Rhode Island itu menghembuskan nafas terakhir selepas “perjuangan panjang menentang kanser pankreas.”

Bagaimanapun, kenyataan itu tidak menyebut tarikh sebenar kematiannya.

“Dikenang kerana sifat belas kasihan, rendah hati dan keyakinannya terhadap kebaikan manusia, Hakim Caprio telah menyentuh kehidupan jutaan orang menerusi kerjayanya di mahkamah dan di luar.

“Beliau akan dikenang bukan sahaja sebagai hakim yang dihormati, tetapi juga sebagai suami, bapa, datuk, moyang serta sahabat yang penyayang.

“Legasi beliau akan terus hidup melalui pelbagai amalan kebaikan yang diilhamkannya.

"Demi menghormatinya, semoga kita berusaha menambah sedikit lagi sifat belas kasihan dalam dunia ini, seperti yang dilakukannya setiap hari,” menurut kenyataan itu.

Pada Selasa, Caprio sempat berkongsi sebuah video dari katil hospitalnya, mengucapkan terima kasih kepada pengikut atas doa mereka sambil mengakui berlaku “kemerosotan” dalam perjuangannya melawan penyakit itu.

Caprio mula dikenali menerusi rancangan "Caught in Providence" yang pernah dicalonkan untuk Anugerah Emmy.

Rancangan itu disiarkan dari 2018 hingga 2020.

Dalam program berkenaan, beliau mengendalikan pelbagai kes kesalahan ringan dengan pendekatan seperti seorang bapa penyayang, sering memperlihatkan sikap penuh belas kasihan terhadap defendan.

- BERNAMA-ANADOLU

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619