SHAH ALAM, 20 OGOS: Perintah larangan bersuara (gag order) yang dikeluarkan Mahkamah Kanak-Kanak dalam prosiding kes Allahyarham Zara Qairina Mahathir hari ini merupakan prosedur biasa bagi melindungi tertuduh bawah umur.
Pengerusi Voice of Children Sharmila Sekaran berkata langkah itu perlu bagi mengelakkan sebarang fakta kes didedahkan kepada umum memandangkan kes berkenaan menerima perhatian meluas.

“Kalau kita baca Akta Kanak-Kanak, memang tidak boleh terbitkan apa-apa berita mengenai kes kanak-kanak di media atau di mana-mana, termasuk atas talian.
“Tetapi kita takut ada yang tetap akan keluarkan, jadi kita akan minta permohonan gag order. Ini bukan luar biasa, ini adalah perkara biasa,” katanya ketika dihubungi Media Selangor.
Beliau mengulas permohonan peguam Datuk Ram Singh yang mewakili lima remaja dikaitkan dengan kes arwah Zara Qairina.
Sharmila menasihatkan orang ramai tidak mencari atau menyebarkan maklumat peribadi kelima-lima remaja terbabit kerana mereka dilindungi bawah Akta Kanak-Kanak 2001.
“Walaupun remaja tersebut buat perlakuan yang salah, mereka masih boleh berubah. Itu sebab kita perlu pelihara dan lindungi mereka, terutamanya melindungi latar belakang mereka supaya orang ramai tidak tahu siapa mereka.
“Sekarang masih di peringkat pendakwaan, mahkamah belum putuskan adakah mereka bersalah,” jelasnya.

Terdahulu, lima remaja berkenaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Kanak-Kanak Kota Kinabalu atas pertuduhan menggunakan perkataan mencela terhadap Allahyarham Zara Qairina.
Mereka dituduh mengikut Seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34, atas perbuatan mencela arwah di sebuah sekolah di Papar pada jam 10 hingga 11 malam, 15 Julai lalu.
Zara, 13, ditemui tidak sedarkan diri di sekolahnya pada 16 Julai sebelum disahkan meninggal dunia keesokan hari di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu.