ad

5,633 kes juvana direkod sejak 2023, majoriti remaja 16–18 tahun

20 Ogos 2025, 7:37 AM
5,633 kes juvana direkod sejak 2023, majoriti remaja 16–18 tahun

SHAH ALAM, 20 OGOS: Sebanyak 1,185 kes juvana direkodkan di seluruh negara setakat Jun lalu mengikut Akta Kanak-Kanak 2001, dengan Selangor mencatat jumlah tertinggi iaitu 892 kes.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata angka tersebut sebahagian daripada 5,633 kes juvana yang dilaporkan sejak dua tahun lalu iaitu 2,006 kes pada 2023 dan 2,442 kes (2024).

“Selain Selangor, Johor merekodkan sebanyak 731 kes, diikuti Perak (506), Sabah (474), Sarawak (460), Kedah (433), Kelantan (347), Pahang (331), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (315), Pulau Pinang (294), Negeri Sembilan (241), Melaka (218) dan Perlis (116),” katanya menerusi jawapan bertulis disiarkan di laman sesawang Parlimen.

Saifuddin berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Wangsa Maju Ir Ts Zahir Hassan mengenai jumlah terkini kes jenayah juvana mengikut Akta Kanak-Kanak 2001 termasuk data pecahan umur pesalah, waktu kejadian dan lokasi.

Beliau menambah, remaja berusia 16 hingga 18 tahun merupakan kumpulan pesalah paling ramai dengan 3,637 kes, manakala kanak-kanak berumur tujuh hingga 10 tahun paling rendah iaitu hanya 21 kes.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan polis sudah mengambil beberapa langkah pencegahan bagi mengawal remaja bawah umur daripada berkeliaran tanpa pengawasan terutama pada waktu malam.

“Antara langkah diambil adalah melaksanakan program kesedaran awam seperti ceramah, seminar dan pameran bagi mendidik ibu bapa tentang tanggungjawab menjaga anak bawah umur.

“Kawasan berisiko tinggi yang sering menjadi tumpuan remaja tanpa pengawasan juga sentiasa dipantau, selain pelaksanaan aktiviti pencegahan jenayah oleh Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) melalui rondaan Mobile Patrol Vehicle (MPV), Unit Rondaan Bermotosikal (URB) serta kempen Volunteer Smartphone Patrol (VSP),” jelasnya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.