SKMM rakam keterangan suspek menyamar pakar patologi, dakwa terlibat bedah siasat Zara Qairina

19 Ogos 2025, 6:54 AM
SKMM rakam keterangan suspek menyamar pakar patologi, dakwa terlibat bedah siasat Zara Qairina

SHAH ALAM, 19 OGOS: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) merakam keterangan individu yang menyamar sebagai pakar patologi serta mendakwa dirinya terlibat proses bedah siasat kematian pelajar tingkatan satu, Zara Qairina Mahathir.

Agensi itu berkata suspek dikesan berada berdekatan kawasan Kota Damansara lewat malam semalam, hasil maklumat daripada rakaman keterangan dua individu yang turut bersama dalam sesi 'TikTok Live' menggunakan nama akaun “Dato’ Prof Dr. Tunku Iskandar”.

“Kementerian Kesihatan Malaysia telah mengesahkan bahawa suspek bukan seorang pakar patologi.

“Suspek kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk proses rakaman keterangan. Peralatan komunikasi suspek turut dirampas bagi tujuan analisis siasatan lanjut,” maklumnya menerusi kenyataan.

SKMM memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dengan kertas siasatan akan dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan selanjutnya.

“Jika disabitkan kesalahan di bawah Akta 588, pesalah boleh dikenakan denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali.

“Kes ini juga turut disiasat oleh pihak Polis Diraja Malaysia di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 505(B) Kanun Keseksaan,” ujarnya lagi.

SKMM menegaskan sebarang penyebaran maklumat palsu terutama  melibatkan isu sensitif berkaitan kematian, tragedi atau mangsa nahas, adalah satu kesalahan serius yang boleh menyinggung perasaan keluarga, mengelirukan masyarakat serta mengganggu proses siasatan pihak berkuasa.


Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619