ad

Pentadbiran negeri teliti penyelesaian jangka panjang isu kutipan sampah di Dusun Tua

19 Ogos 2025, 6:35 AM
Pentadbiran negeri teliti penyelesaian jangka panjang isu kutipan sampah di Dusun Tua

SHAH ALAM, 19 OGOS: Kerajaan Negeri sedang mengkaji kaedah meluaskan operasi kutipan sampah di Dusun Tua terutama di luar kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Kajang (MPKj).

Ahli Dewan Negeri (ADN) Dusun Tua Datuk Johan Abd Aziz berkata ia bagi memenuhi keperluan penduduk di kawasan terlibat yang sering berdepan masalah ketiadaan perkhidmatan kutipan sampah.

“Kajian tumpu untuk luaskan khidmat operasi kutipan sebagai rancangan jangka panjang, yang kini mendapat perhatian EXCO Kerajaan Tempatan Dato’ Ng Suee Lim memandangkan tiada peruntukan khusus urus sampah dan khidmat KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM) di kampung yang tidak berada dalam pentadbiran MPKj.

“Hampir 20 kampung berada di luar kawasan MPKj. Sekarang yang paling kritikal isu pengurusan kutipan sampah di Kampung Jawa dan sekitar Batu 18,” katanya kepada Media Selangor.

Pada masa sama, Johan memberitahu mesyuarat telah dibuat bersama ketua kampung, pengusaha chalet, peniaga restoran, KDEBWM bagi mencari penyelesaian jangka pendek.

“Hasil mesyuarat kebanyakan penduduk telah bersetuju untuk lantikan kontraktor, keluar kos sendiri anggaran dalam RM30 sebulan bagi kutipan dengan meletak tong sampah di kediaman masing-masing.

“Saya lihat terdapat tiga buah kampung sudah laksana kaedah seperti ini hasilnya kutipan terurus,” ujarnya lagi.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.